NAZMIZAN beraya bersama keluarga di Perlis. FOTO Ihsan Nazmizan Muhammad
NAZMIZAN beraya bersama keluarga di Perlis. FOTO Ihsan Nazmizan Muhammad
Malik Muhamad


"HATI mana tidak sayu jika hari lebaran yang disambut setahun sekali ini tidak dapat bertemu dengan insan tercinta, malah lebih syahdu apabila mendengar alunan takbir di pagi raya."

Demikian luahan bekas raja pecut Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad yang kini menetap di Perlis apabila terpaksa menyambut Aidilfitri buat kali pertama di perantauan, tidak seperti biasa di kampung halamannya di Dungun, Terengganu.

Nazmizan berkata, jika ikutkan hati dia memang mahu sentiasa berada di samping bapanya, Muhammad Awang, 70, yang kini keseorangan ketika Syawal selepas ibunya, Zaini Abu Bakar sudah pergi buat selama-lamannya sejak empat tahun lalu.

"Namun apakan daya kerana apa yang lebih penting adalah keselamatan semua termasuk kami sekeluarga bersama isteri, Suhana Abdul Mutalib dan dua anak, Daniya Alesha dan Aisy Mifzal ketika negara berdepan dengan pandemik Covid-19.

"Kami sekeluarga perlu patuh dengan arahan pihak kerajaan dan Kementerian Kesihatan supaya duduk di rumah dan tidak cuba merentas negeri walaupun begitu terasa tanpa bapa disisi di pagi raya.

"Jika ikut perancangan kami beraya di Terengganu dengan baju raya sama warna biru muda, tapi disebabkan tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), masing-masing menyambut di tempat sendiri.

"Tapi saya masih beruntung kerana abang dan kakak masih boleh beraya dengan ayah di kampung kerana mereka tinggal berdekatan, cuma abang kedua dan adik bongsu beraya di Balok, Kuantan dan Nilai Negeri Sembilan termasuk saya di Perlis.

"Bagi memastikan tali persaudaraan kami sekeluarga tetap utuh walaupun berjauhan, saya bersama keluarga sudah merancang untuk membuat panggilan video di pagi raya berbual dan meminta maaf dengan hati yang tulus terutama kepada bapa yang berada di Pantai Timur," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2020 @ 6:36 PM