HAKIMI (kiri) dan Dhabitah tetap meraikan Aidilfitri kali ini dengan meriah. FOTO FB Hakimi dan Dhabitah
HAKIMI (kiri) dan Dhabitah tetap meraikan Aidilfitri kali ini dengan meriah. FOTO FB Hakimi dan Dhabitah
Aida Adilah Mat


BIARPUN hari raya Aidilfitri tahun ini disambut dalam suasana berbeza namun ia tetap disambut dengan meriah.

Begitulah hakikat yang perlu diterima kesan daripada penularan pandemik Covid-19.

Bagi atlet negara, Aidilfitri tetap disambut dengan gembira dan seadanya biarpun negara masih lagi dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKBM).

PKPB bukanlah alasan untuk tidak meraikannya. Malah dilihat dari sudut positif PKPB mempunyai hikmah tersembunyi dan ini adalah peluang paling berharga apabila dapat beraya bersama keluarga selepas beberapa tahun terpaksa berkorban beraya di perantauan.

Bagi jaguh lompat kijang negara, Hakimi Ismail, tahun ini memberi peluang untuk dia beraya bersama isteri, Sharifah Mastiara Syed Mahadi bersama dua orang anaknya, Muhammad Ayden Matiin,3 dan Puteri Arabella Irose, empat bulan, selepas empat tahun terpaksa beraya di perantauan kerana tuntutan kerjaya seorang atlet.

"Semenjak kahwin, baru ini saya dapat beraya bersama isteri pada hari raya pertama.

"Ada hikmahnya PKPB ini biarpun tak dapat pergi pertandingan. Bagi olahraga bulan lima dan enam ini banyak pertandingan luar tapi tahun ini sebab Covid-19 banyak pertandingan dibatalkan jadi dapatlah berpuasa dan beraya bersama keluarga," katanya.

Sementara itu bagi penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri, Aidilfitri tahun ini tetap disambut meriah bersama keluarga biarpun tidak dapat berkunjung ke rumah sanak-saudara dan rakan taulan.

"Saya ingin mengucapkan selamat hari raya maaf zahir batin kepada seluruh umat Islam di Malaysia.

"Walaupun kita masih dalam PKPB tapi tidak semestinya kita semua ambil kesempatan untuk keluar kerana PKPB hanyalah untuk mereka yang mempunyai kerja penting untuk di buat.

"Terus kekal di rumah dan janganlah kita menjadi sebahagian daripada penyumbang kepada virus ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2020 @ 9:35 PM