Dhiyaurahman Mohd Hasry. FOTO TFC II
Dhiyaurahman Mohd Hasry. FOTO TFC II
Malik Muhamad


PEMAIN berdarah campuran Malaysia-Indonesia, Dhiyaurahman Mohd Hasry, 24 akui prestasinya kini kian 'berkarat' selepas lebih dua bulan 'berkurung' di dalam rumah mematuhi tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac lalu.

Pertahanan kiri skuad Terengganu FC II (TFC II) itu yang juga mampu beraksi di posisi sayap berkata, lebih parah jika Liga Malaysia (Liga M) yang dicadangkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pada September depan tidak menjadi kenyataan, keadaan ini sudah pasti merisaukan pemain.

"Dahlah Piala Cabaran dibatalkan, jika Liga Perdana tidak dapat dilangsungkan sudah pasti prestasi permainan kami kian merudum.

Ini kerana bagi mengekalkan tahap prestasi sebenar kami memerlukan aksi yang konsisten di padang, tidak cukup hanya melakukan latihan biasa di rumah.

"Kami bimbang jika ianya berterusan tanpa aksi kompetitif, sudah pasti prestasi kami tidak seperti biasa sekali gus merencatkan usaha untuk memperagakan aksi terbaik dalam setiap perlawanan lebih-lebih lagi kami kini menghuni tangga teratas Liga Perdana.

"Lagipun untuk mengembalikan semula prestasi terbaik sudah tentu memakan masa lebih sebulan latihan termasuk untuk meningkat stamina, taktikal dan strategi selain keserasian," ujar Dhiyaurahman yang kini menetap di kampung Jeram Manir, Kuala Nerus.

Ketika ditanya pandangannya tentang hanya tujuh baki perlawanan Liga Perdana yang bakal bersambung sekiranya MFL mendapat 'lampu hijau' daripada Majlis Keselamatan negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), bekas pemain Pulau Pinang itu akui tetap bersyukur kerana dapat juga menghabiskan liga musim ini.

"Kami menyasarkan untuk menjuarai liga musim ini apatah lagi piala itu satu-satunya yang ada bagi pasukan yang bergelar 'feeder' selepas Piala Cabaran bakal dibatalkan.

"Jadi kami tetap gembira dan berterima kasih kepada badan induk bolasepak negara, lagipun kaki kami ini sudah menggigil untuk menendang bola selepas lebih dua bulan 'bersara' bagi membendung penularan wabak pandemik Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2020 @ 5:24 PM