Chong Wei (kanan) menyerahkan sumbangan kepada wakil masjid. FOTO FB Masjid Al-Hidayah Kampung Sungai Penchala
Chong Wei (kanan) menyerahkan sumbangan kepada wakil masjid. FOTO FB Masjid Al-Hidayah Kampung Sungai Penchala
Saiful Affendy Sapran


BEKAS jaguh perseorangan badminton lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei menunjukkan teladan yang baik apabila memberi sumbangan kepada Masjid Al-Hidayah Kampung Sungai Penchala (MAHSP), Kuala Lumpur hari ini.

Perkongsian itu dimuat naik di akaun Facebook rasmi masjid itu yang turut disertakan tiga gambar Chong Wei menghulurkan sumbangan kepada wakil masjid.

"Terima kasih Datuk Lee Chong Wei atas sumbangan wang tunai dan kelengkapan Masjid Al-Hidayah Kampung Sungai Penchala di kala suasana PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) ini.

"Terima kasih juga kepada Ustaz Khairul Anam, Pentadbiran Masjid Saidina Umar Al-Khattab dan warga kariah Bukit Damansara menjadi penghubung kepada MAHSP.

"Semoga kebaikan yang sebenar-benarnya kebaikan milik kita bersama selama-lamanya. Amin," tulis status di Facebook MAHSP.

Status itu turut dikongsi di akaun Facebook rasmi Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Kebanyakan netizen memuji sikap Chong Wei dan berharap ia dicontohi oleh pihak lain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2020 @ 9:48 PM