CHONG Wei sering memberi kasut sukan kepada Iskandar. FOTO NSTP
CHONG Wei sering memberi kasut sukan kepada Iskandar. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat


BEKAS pemain perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei memang dikenali sebagai seorang berhati mulia dan sering berkongsi rezeki yang beliau ada.

Dia tidak pernah lokek untuk menghulurkan sumbangan andai mempunyai rezeki yang lebih untuk di kongsi bersama terutama di kalangan pemain badminton negara.

Pemain perseorangan negara yang kini berstatus profesional, Iskandar Zulkarnain Zainuddin berkongsi kisah Chong Wei yang sanggup memberi kasut sukan kepadanya.

Kata Iskandar sepanjang bergelar pemain badminton dia tidak pernah membeli kasut sukan.

Cakap saja perkara itu kepada Chong Wei, esoknya pasti Iskandar akan mendapat kasut baru. Malah bukan sepasang adakalanya sampai dua atau tiga pasang diberi kepadanya setiap kali di usulkan perkara itu kepada bekas pemain nombor satu dunia berkenaan.

"Sejak bergelar pemain badminton memang saya tak pernah beli kasut joging. Tapi saya pandai 'pancing' juga, cakap kasut koyak, esoknya pasti dia akan bawa kasut baru.

"Pernah satu hari dia bagi banyak kasut baru dan minta untuk saya bagikan kepada pemain remaja," katanya yang menganggap Chong Wei sebagai abang yang tidak pernah lokek mencurahkan ilmu kepada pemain muda.

Kata Iskandar, setiap kali tiba perayaan Tahun Baru Cina, Chong Wei akan mengadakan jamuan makan untuk pemain perseorangan. Selain daripada duit raya, ada juga cabutan bertuah untuk pemain yang hadir pada majlis itu.

Itulah Chong Wei satu ketika dahulu pernah mengharumkan nama negara di pentas dunia dan menjadi pemain perseorangan badminton negara yang pertama meraih tiga pingat perak di temasya Olimpik bermula di Beijing (2008), London (2012) dan Rio (2016).

Biarpun tidak lagi pemain kebangsaan, figuranya tetap dikenali dan baru-baru ini kisahnya yang memberi sumbangan wang tunai dan barangan di masjid mendapat pujian netizen.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2020 @ 6:14 PM