REEZAL Merican (dua kanan) mengadakan perbincangan bersama Hamidin (dua kiri), hari ini. FOTO FB Reezal Merican
REEZAL Merican (dua kanan) mengadakan perbincangan bersama Hamidin (dua kiri), hari ini. FOTO FB Reezal Merican
Firdaus Hashim


LATIHAN berperingkat dengan memulakan aksi secara 'non-contact' adalah antara syarat yang perlu dipatuhi bagi membolehkan saingan Liga Malaysia (Liga-M) dilangsungkan.

Menerusi kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican di Facebook rasminya, beliau mengadakan pertemuan dengan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin hari ini.

Katanya, topik perbincangan lebih menjurus kepada soal bagaimana untuk memohon kelonggaran khas kepada skuad kebangsaan dan pasukan liga tempatan bagi memulakan latihan.

"Turut dibincangkan adalah kaedah dan masa yang terbaik untuk mengemukakan cadangan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memohon kelonggaran khas untuk pasukan kebangsaan dan kelab agar mereka dapat memulakan latihan secara 'gradual' dan berperingkat.

"Umpamanya seperti latihan secara 'non-contact' dahulu, mengambil kira juga kaedah oleh negara luar yang lain," katanya.

Selain Hamidin, pertemuan itu turut dihadiri Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dan Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan.

Sebelum ini, MFL dan FAM membayangkan untuk menyambung semula saingan liga domestik membabitkan Liga Super dan Liga Perdana yang akan dijalankan secara satu pusingan bermula dari 1-27 September ini.

Ia kemudiannya disusuli dengan aksi Piala Malaysia dari 17 Oktober hingga 7 November manakala saingan Piala FA dan Piala Cabaran terpaksa dibatalkan musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2020 @ 9:51 PM