Syazwan Msar


JIKA ada sebarang pertanyaan dan keraguan, peminat bola sepak tanah air boleh mengajukan perkara terbabit menerusi ruangan komen di laman sosial rasmi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bermula hari ini.

Inisiatif berkenaan adalah usaha badan induk bola sepak negara itu merungkai persoalan dikemukakan peminat bola sepak tanah air selain boleh berkongsi pendapat dan idea bagi meningkatkan lagi mutu sukan nombor satu itu.

Menerusi ruangan 'Anda Tanya, Presiden Jawab', peminat diberi peluang bertanyakan apa saja soalan mengenai bola sepak negara.

Menariknya, soalan terpilih itu akan dijawab sendiri oleh Presiden FAM, Datuk Datuk Hamidin Mohd Amin menerusi rakaman video yang akan dimuat turun dalam masa terdekat ini.

Usaha berkenaan, kali pertama dilaksanakan tahun ini dan memberi ruang dan peluang peminat bola sepak negara bertanya apa saja mengenai sukan terbabit.

Setakat lima jam sejak mula dimuat naik, FAM sudah menerima 134 soalan daripada peminat bola sepak negara dengan rata-rata mahu mengetahui status terkini pemain kacukan seperti Marcel Kalonda dan Harry Edge untuk menyarung jersi Harimau Malaya.

Selain itu, antara soalan yang kerap ditanya mereka adalah tarikh tepat saingan Liga Malaysia (Liga M) akan bermula selepas tertangguh sejak Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 5:47 PM