Toni Kroos. FOTO Agensi
Toni Kroos. FOTO Agensi
Agensi

PERANCANG tengah Real Madrid, Toni Kroos percaya pasukannya akan cepat menyesuaikan diri apabila musim La Liga disambung semula.

Selepas ditangguhkan sejak Mac lalu kerana pandemik Covid-19, kempen La Liga dijadualkan bermula pada 11 Jun ini.

Real ketinggalan dua mata di belakang pendahulu dan seteru utama liga utama Sepanyol, Barcelona dengan baki 11 perlawanan musim ini.

Kroos yang mewakili Real akan melayan kunjungan Eibar pada perlawanan pembukaan semula, memberitahu siapa yang menyesuaikan diri bermain dalam stadium tanpa penyokong akan meraih kejayaan.

"Kami berlatih dengan gigih untuk perlawanan pertama dalam memastikan berada dalam tahap terbaik.

"Kami tidak dapat melakukan apa-apa lagi, keadaan ini sama untuk semua orang," katanya kepada Real Madrid TV.

"Kami harus berlatih dengan baik untuk memastikan tahap kecergasan, gerakan kami ketika menggelecek bola dan bagaimana kami harus bermain sebagai satu kumpulan, kami berlatih untuk 11 perlawanan yang akan datang.

"Ia adalah kali pertama kami harus bermain perlawanan tanpa peminat, mari kita lihat bagaimana keadaannya, dan pasukan yang menyesuaikan diri lebih baik dengan situasi ini akan mencipta kemenangan."

Real tewas tiga daripada lima perlawanan dalam semua pertandingan sebelum musim ditangguhkan berikutan Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2020 @ 1:23 PM