PENGARAH Penjara Perak, Shukri Saad ketika melawat Namat di rumahnya. FOTO Ihsan Munaliza Namat
PENGARAH Penjara Perak, Shukri Saad ketika melawat Namat di rumahnya. FOTO Ihsan Munaliza Namat
Syazwan Msar


BERAT mata memandang, berat lagi bahu memikul apabila legenda bola sepak negara, Datuk Namat Abdullah yang berusia 74 tahun kini hanya terlantar selepas menghidap kanser usus tahap empat sejak 2017.

Namat yang pernah beraksi bersama pasukan kebangsaan di temasya Sukan Olimpik 1972, sebelum itu diserang strok sekali gus terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak sebelum disahkan pula menghidap kanser usus.

Menceritakan keadaan terkini beliau, anak perempuannya, Munaliza Namat berkata, ketika ini ibu dan adik beradiknya sentiasa menjaga dan memantau beliau termasuk makan dan minum kerana ayahnya masih lagi dalam keadaan lemah.

"Pada 2017, ayah ada menjalani pembedahan berkaitan penyakit sarafnya di Hospital Lam Wah Ee di Pulau Pinang seterusnya menjalani rawatan sama untuk masukkan alat yang dipanggil 'stent' kerana dikesan menghidap kanser usus.

"Namun, pada Mac lalu doktor memaklumkan kanser ayah sudah berada pada tahap empat dan hanya boleh menjalani rawatan kimoterapi bagi mengelak daripada merebak.

"Ketika ini, keadaan ayah stabil cuma sekarang ini beliau agak sensitif terutama apabila rakannya datang akan menangis," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Namat cukup dikenali sebagai pertahanan kanan paling kental negara terutama pada era 70an ketika bergandingan dengan Datuk Soh Chin Aun.

Beliau mengumpul 115 kap untuk negara dan kali terakhir beraksi bersama pasukan Harimau Malaya adalah di Kejohanan Ulangtahun Jakarta pada tahun 1975.

Sementara itu, Munaliza yang bertugas di Penjara Pusat Koreksional Kamunting, Perak, berterima kasih kepada orang ramai yang sentiasa mendoakan dan melawat ayahnya terutama apabila mengetahui menghidap kanser usus.

"Ayah sebenarnya seronok apabila melihat ramai rakannya datang melawat termasuk daripada beberapa pihak lain dan ternyata jasanya masih diingati sehingga kini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2020 @ 8:04 PM