BALOTELLI kaki ponteng latihan. FOTO AFP
BALOTELLI kaki ponteng latihan. FOTO AFP
AFP

KARIER Mario Balotelli bersama kelab tempat kelahirannya, Brescia berakhir dengan media tempatan melaporkan kontrak pemain itu akan ditamatkan selepas beberapa kali tidak hadir sesi latihan.

Surat pelepasan Balotelli telah dihantar ke badan bola sepak Itali oleh peguamnya semalam, menurut Sky Sport, Gazzetta dello Sport dan Agensi Berita AGI.

Balotelli dilaporkan tidak hadir beberapa sesi latihan sejak pasukan Serie A kembali berlatih pada awal Mei lalu. Pemain pada mulanya berlatih secara individu sebelum diberi lampu hijau meneruskan latihan berpasukan.

Bekas pemain Manchester City berusia 29 tahun itu berkata minggu ini, dia tidak sihat dan akan menyerahkan sijil sakit sebagai bukti.

Jurulatih Brescia, Diego Lopez berkata dia kecewa dengan sikap penyerang itu.

"Mario berlatih berasingan kerana rakan sepasukannya sudah berbuat demikian tetapi dia belum," kata Lopez kepada Corriere della Sera.

"Sesi individu adalah pilihan ok. Tetapi kumpulan mengambil jalan lain dan dia jalan lain. Menerusi Zoom, ketika kuarantin, kami tak nampak dia. Walaupun dia berkata dia berasa sihat, dia tidak setahap rakan sepasukan."

Bulan lalu, presiden Brescia berkata "Minda Balotelli tidak lagi bersama kelab" yang terperosok di tangga tercorot liga dan sembilan mata daripada zon selamat ketika musim dihentikan susulan pandemik koronavirus pada Mac.

"Saya suka dia dan berharap suasana di tempat kelahiran dan keinginannya menyarung jersi kebangsaan dapat membantu dia. Tetapi sebaliknya kami yang kecewa," kata Massimo Cellino.

Balotelli yang memiliki 36 kap bersama Itali menyertai Brescia pada musim panas lalu dan hanya menjaringkan lima gol dalam 19 perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Jun 2020 @ 8:13 PM