FAM hanya menunggu surat daripada Persatuan Bolasepak Republik Congo berkenaan status Kalonda (tengah).
FAM hanya menunggu surat daripada Persatuan Bolasepak Republik Congo berkenaan status Kalonda (tengah).
Firdaus Hashim


KUALA LUMPUR: Surat pengesahan daripada Persatuan Bolasepak Republik Congo berkenaan status Marcel Kalonda adalah dokumen terakhir yang masih sangkut sebelum Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) boleh memanggil pulang calon pemain warisan skuad Harimau Malaya itu.

Kalonda, 22, menegaskan semua dokumen berkaitan sejarah dan hubungan keluarganya dengan Malaysia sudah diserahkan kepada FAM minggu lalu.

Namun surat daripada Persatuan Bolasepak Republik Congo yang mengesahkan dirinya belum beraksi di peringkat antarabangsa bersama pasukan kebangsaan Congo sedang diusahakan pihaknya.

Katanya, dia percaya masalah itu akan dapat diselesaikan selewat-lewatnya esok, sekali gus sedia hadir ke Malaysia untuk menjalani proses pemilihan bersama barisan kejurulatihan FAM.

"Ia (dokumen yang masih sangkut) hanya berkenaan surat daripada Persatuan Bolasepak Republik Congo untuk mengesahkan yang saya tidak pernah main untuk Congo.

"Saya kira mungkin dalam Isnin (esok) surat itu akan dikeluarkan dan ia akan terus diberikan kepada FAM untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi Arena Metro menerusi perbualan di laman sosial, semalam.

Terdahulu menerusi laporan akhbar ini, Pengerusi Jawatankuasa Program Naturalisasi FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengesahkan Kalonda sudah menghantar dokumen rasmi berhubung latar belakang dirinya selepas tempoh dua minggu berakhir baru-baru ini.

Menurut Yusoff, Kalonda yang kini beraksi dengan kelab ZESCO United dalam Liga Zambia sudah mengemukakan dokumen yang diperlukan bagi membuktikan dirinya mempunyai hubungan dengan negara ini.

Bagaimanapun, Kalonda diberi tempoh lanjutan dua minggu lagi bagi melengkapkan dokumen yang diperlukan FAM untuk didaftarkan sebagai pemain warisan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2020 @ 6:00 AM