WIRTZ penjaring gol paling muda Bundesliga pada usia 17 tahun 34 hari. FOTO Ihsan Twitter Bayer Leverkusen
WIRTZ penjaring gol paling muda Bundesliga pada usia 17 tahun 34 hari. FOTO Ihsan Twitter Bayer Leverkusen
AFP

PADA usia 17 tahun 34 hari, Florian Wirtz semalam mencipta sejarah menjadi pemain paling muda meledakkan jaringan di Bundesliga walaupun Bayer Leverkusen tumpas 2-4 kepada penyandang juara, Bayern Munich.

Wirtz berjaya mencatatkan nama sebagai penjaring apabila melakukan rembatan lencong dari dalam petak penalti menumpaskan penjaga gol Bayern, Manuel Neuer pada minit-minit akhir perlawanan.

Pemain remaja itu mengetepikan rekod Nuri Sahin, bekas tonggak Borussia Dortmund, yang berusia 17 tahun 82 hari ketika menjaringkan gol menentang Nuremberg pada 2005, tatkala Wirtz ketika itu baru berusia dua tahun.

Wirtz melakukan penampilan sulung ketika Leverkusen menentang Werder Bremen bulan lalu, menjadi pemain paling muda berada dalam kesebelasan utama dalam sejarah kelab dan ketiga paling muda di Bundesliga.

Pemain remaja itu hadir dari akademi pasukan jiran, Cologne, sebelum menyertai Leverkusen awal tahun ini.

Sementara itu, Lewandowski menjaringkan go ke-30 liga musim ini dan semakin hampir untuk membantu Bayern muncul juara liga.

Bagaimanapun, Lucas Alario terlebih dulu meletakkan pasukan tuan rumah di depan, sebelum Bayern menambah tiga gol sebelum rehat separuh masa melalui Kingsley Coman, Leon Goretzka dan Serge Gnarby.

Lewandowski menjaringkan gol keempat pada separuh masa kedua seterusnya mengukuhkan cengkaman Bayern dengan kelebihan 10 mata di puncak liga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2020 @ 8:54 AM