ROSE rasakan tidak adil hanya pemain lelaki saja dapat beraksi. FOTO Agensi
ROSE rasakan tidak adil hanya pemain lelaki saja dapat beraksi. FOTO Agensi
Agensi

DISEBABKAN Jelajah Eropah Wanita tidak dilangsungkan sehingga Ogos, pemain golf England, Justin Rose berharap dapat menghulurkan bantuan dengan menaja kejohanan siri wanita di United Kingdom.

'Rose Ladies Series' akan menampilkan tujuh kejohanan sehari bermula 18 Jun ini dengan tumpuan adalah saingan yang bakal diadakan di Royal St George.

Rose dan isterinya, Kate, menderma sebanyak £35,000 (RM189,000) untuk siri berkenaan bagi tujuan hadiah kemenangan, manakala setiap lapangan tidak dikenakan sebarang bayaran.

"Kate dan saya begitu teruja untuk menganjurkan 'Rose Ladies Series' yang membabitkan beberapa lapangan menarik di musim panas ini di England," kata Rose yang mengumumkannya di Twitter.

Dalam temuramah bersama Telegraph, Rose berkata, dia berasa tidak adil bahawa saingan lelaki dapat peluang untuk diadakan minggu ini di Jelajah PGA di Colonial, manakala pemain wanita perlu menunggu lagi dua bulan.

"Saya sedar bahawa sekarang saya mempunyai peluang untuk kembali bekerja dan bersaing dalam Jelajah PGA tapi ia tidak sama dengan pemain wanita serta beberapa jelajah remaja," kata Rose.

Jelajah Eropah Wanita bergelut dari segi kewangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan LPGA tampil untuk menyelamatkan jelajah pada musim gugur lalu dengan menjalin usahama bagi menghidupkan kembali saingan golf di Eropah.

"Saya sedih Jelajah Eropah Wanita sangat menderita dengan teruk. Bagi saya ia seperti kelihatan tidak adil. Kami suami isteri merasakan kami ada peluang untuk tampil dan bantu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Jun 2020 @ 1:13 PM