SAZALI (tengah) mengakui pihaknya tiada masalah untuk mengikuti setiap SOP ditetapkan terutama ketika latihan dijalankan. FOTO HASRIYASYAH SABUDIN.
SAZALI (tengah) mengakui pihaknya tiada masalah untuk mengikuti setiap SOP ditetapkan terutama ketika latihan dijalankan. FOTO HASRIYASYAH SABUDIN.
Mohd Amin Jalil


KESEMUA pemain dalam skuad Liga Perdana, Negeri Sembilan disahkan dalam keadaan sihat sekali gus membolehkan mereka memulakan latihan dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan, bermula esok.

Ini disahkan Ketua Jurulatih Negeri Sembilan, Sazali Saidon yang menjelaskan ujian saringan tahap kesihatan semua pemain terbabit diambil pada Jumaat lalu.

Katanya, pihaknya sudah membuat persiapan untuk memulakan latihan dengan SOP ditetapkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berpandukan ketetapan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Latihan skuad Negeri Sembilan akan bermula pagi esok berpandukan SOP ditetapkan pihak berkuasa dan akan diadakan secara tiga sesi dengan setiap sesi membabitkan hanya 10 pemain dan empat pegawai.

"Setiap SOP ditetapkan MFL, MKN dan KKM akan dipatuhi sepenuhnya termasuk penjarakan sosial antara pemain selain pemeriksaan suhu badan sebelum latihan manakala selesai tempoh latihan pemain dikehendaki terus pulang ke rumah.

"Taklimat mengenai SOP latihan ini sudah dijelaskan kepada pemain, baru-baru ini dan mereka memahami sepenuhnya mengenai kaedah dan corak latihan yang akan dilaksanakan esok," katanya di sini, hari ini.

Sazali berkata, pihaknya tiada masalah untuk mengikuti setiap SOP ditetapkan terutama ketika latihan dijalankan dan akan terus memastikan setiap pemain mematuhi peraturan itu dengan baik.

Pengendali berasal dari Johor itu juga berkata, sepanjang latihan skuad Hobin Jang Hobin itu juga dijangka akan dihadiri pegawai MKN untuk memantau sejauh mana pematuhan SOP ditetapkan.

"Kami akur dengan SOP ditetapkan dan saya akan pastikan latihan ini berjalan dengan baik," katanya.

Beliau berkata, dengan bermula latihan berkenaan, ini bermakna perjuangan skuad Rusa sudah bermula untuk menghadapi sambungan saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini, yang dijadualkan akan bermula awal September depan.

Menurutnya, fokus akan diberikan kepada usaha meningkatkan kembali tahap kecergasan dan prestasi pemain selepas mereka berehat panjang sejak Perintah Kawalan Pergerakanb (PKP) mula dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu.

"Kita akui hampir semua pemain pasukan ketika ini kelihatan 'berkarat' selepas tiada latihan dipadang dapat dilakukan sepanjang PKP.

"Justeru, pada peringkat awal ini fokus latihan akan diberikan kepada usaha mengembalikan semula tahap kecergasan setiap pemain.

"Pasukan perlu menggunakan tempoh diberikan ini dengan sebaik mungkin kerana perjuangan menjulang pasukan sudah kembali bermula dan saya berharap pemain terus fokus kepada matlamat yang ditetapkan musim ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2020 @ 6:49 PM