REDMOND(kanan) melepaskan rembatan untuk menghasilkan gol ketiga Southampton di Carrow Road awal pagi tadi. FOTO AFP
REDMOND(kanan) melepaskan rembatan untuk menghasilkan gol ketiga Southampton di Carrow Road awal pagi tadi. FOTO AFP
AFP

SOUTHAMPTON memberi tekanan kepada Norwich untuk kembali pulang ke Liga Kejuaraan selepas gol pada separuh masa kedua melalui Danny Ings, Stuart Armstrong dan Nathan Redmond membolehkan mereka mencatat kemenangan 3-0 di Carrow Road.

Kemenangan The Saints menyaksikan mereka 10 mata dari zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris (EPL) namun Norwich kekal kurang tujuh mata untuk keluar ke zon selamat.

Kedua-dua pasukan tidak banyak memperoleh peluang menjaringkan gol sebelum rehat kerana bergelut dengan situasi baru perlawanan iaitu beraksi di stadium kosong.

Southampton akhirnya mendapat rentak pada separuh masa kedua, sekali gus mengurangkan debaran mereka untuk ditarik masuk dalam persaingan penyingkiran liga.

Ings meneruskan rentak cemerlang musim ini dengan meraih gol ke-19 musim ini hasil rembatan lencong.

Amstrong selepas itu mengambil kesempatan di atas kerapuhan benteng Norwich selepas berjaya mencari ruang di depan petak penalti sebelum melepaskan rembatan rendah menewaskan Tim Krul.

Redmond pula berjaya memperdayakan pertahanan lawan untuk menjaringkan gol ke atas bekas kelabnya 11 minit sebelum perlawanan tamat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2020 @ 9:38 AM