JACKIE disahkan negatif Covid-19 pada ujian makmal terakhir baru-baru ini. FOTO Owee Ah Chun
JACKIE disahkan negatif Covid-19 pada ujian makmal terakhir baru-baru ini. FOTO Owee Ah Chun
Syazwan Msar


JAGUH baling tukul besi negara, Jackie Wong bersedia menjalani latihan seperti biasa apabila dia kini sudah disahkan negatif Covid-19 pada ujian makmal terakhir baru-baru ini.

Hal ini bermakna Jackie boleh kembali berlatih seperti biasa dengan menyertai pasukannya sebagai persiapan menghadapi kejohanan pada masa akan datang.

Jackie yang dihubungi Arena Metro berkata, ketika ini dia menjalani latihan bersendirian seperti biasa bagi mengekalkan momentum selepas berehat hampir tiga bulan.

Pemegang rekod kebangsaan itu berkata, setakat ini dia belum menerima panggilan daripada pihak berkaitan supaya kembali ke kem latihan yang bermula bulan depan.

"Saya tidak pasti atau menerima apa-apa arahan daripada mana-mana pihak. Sepanjang masa ini, saya tidak berhenti berlatih dan memang itu rutin harian," katanya, di sini.

Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk S M Muthu sebelum ini mengesahkan Jackie yang dimasukkan ke hospital sejak 16 Mac lalu, sudah dibenarkan pulang.

Jackie adalah pemegang rekod kebangsaan acara baling tukul besi lelaki dengan jarak 68.22 meter yang dicatat pada Kejohanan KOM di Stadium Mini MSN di Bukit Jalil, Ogos tahun lalu.

Terdahulu, Jackie disahkan masih menghidap jangkitan Covid-19 selepas hampir sebulan menjalani tempoh pengasingan dan rawatan di Hospital Sibu, Sarawak sejak 16 Mac lepas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2020 @ 6:13 PM