PENYOKONG berpesta di luar Stadium Anfield meraikan kejayaan Liverpool muncul juara Liga Perdana Inggeris. FOTO AFP
PENYOKONG berpesta di luar Stadium Anfield meraikan kejayaan Liverpool muncul juara Liga Perdana Inggeris. FOTO AFP
AFP

PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp cuba mengawal emosi ketika mendedikasikan kejayaan kelab mengakhiri kemarau 30 tahun gelaran Liga Perdana kepada penyokong mereka.

Klopp menggesa penyokong tidak memenuhi sekitar stadium kemegahan, Anfield ketika garis panduan penjarakan sosial masih dilaksanakan susulan pandemik koronavirus.

"Ini detik besar, paling indah dan saya kehilangan kata-kata," kata Klopp kepada Sky Sports.

"Malam ini untuk anda di luar sana," kata Klopp.

"Menakjubkan. Saya harap anda kekal di rumah atau keluar di hadapan rumah, tidak lebih daripada itu. Kita lakukan bersama pada saat ini dan satu kepuasan melakukannya untuk anda."

Pengendali dari Jerman itu berjanji kelab akan mengadakan sambutan besar-besaran sama seperti ketika mereka menjuarai Liga Juara-Juara apabila situasi kembali selamat.

"Kita akan bersama dan menikmati kegembiraan ini dengan cara sepatutnya."

Penantian sekian lama Liverpool berakhir tanpa menendang bola selepas Manchester City tewas 1-2 di Chelsea sekali gus anak buah Klopp mendahului 23 mata dengan baki tujuh perlawanan.

GELAGAT Klopp bersama trofi Liga Perdana Inggeris.  FOTO AFP
GELAGAT Klopp bersama trofi Liga Perdana Inggeris. FOTO AFP

Gelaran pertama liga dalam tempoh tiga dekad menjadi kemuncak kebangkitan Reds dalam bola sepak Inggeris selepas kedatangan Klopp pada 2015 dengan kelab bergelut menghuni kelompok empat teratas.

Tetapi bekas jurulatih Borussia Dortmund itu jelas belum puas dan mahu memburu lebih banyak kejayaan bersama skuadnya pada masa depan.

"Apa yang dilakukan mereka sejak dua atau tiga tahun lalu cukup mengagumkan dan satu keseronokan dapat mengendalikan mereka," kata Klopp yang menyaksikan kekalahan City bersama pemainnya di hotel.

"Cukup menggembirakan sejak hari pertama saya tiba di sini dan ia belum berakhir, itu yang bagusnya. Pasukan ini mampu meraih lebih banyak kejayaan untuk beberapa tahun lagi tetapi pada malam kami akan menikmati detik ini. Ia lebih daripada apa yang saya impikan, secara jujurnya."

Penantian panjang Liverpool terpaksa dilanjutkan tiga bulan selepas liga dihentikan pada Mac susulan Covid-19 dan Klopp lega hasrat mereka akhirnya tercapai.

 SEBAHAGIAN penyokong Liverpool  yang meraikan kejayaan pasukan mereka. FOTO AFP
SEBAHAGIAN penyokong Liverpool yang meraikan kejayaan pasukan mereka. FOTO AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Jun 2020 @ 7:10 AM