HAFIZH (kanan) bersama Harrif ketika menjalani latihan minggu lalu.
HAFIZH (kanan) bersama Harrif ketika menjalani latihan minggu lalu.
Saiful Affendy Sapran


PELUMBA Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah benar-benar bersungguh untuk kembali kepada prestasi sebenar apabila menjalani latihan bersama pasukan profesional, Terengganu Inc Cycling Team (TSG).

Hafizh menjalani latihan selama dua hari minggu lalu bersama pelumba profesional TSG termasuklah pakar pecut Harrif Saleh yang berjaya memenangi dua peringkat perlumbaan pada edisi Le Tour de Langkawi (LTdL) tahun ini.

Semua itu sebagai persiapannya untuk kembali berlumba bermula di Jerez, Sepanyol dan menghadapi jadual cukup padat sehingga hujung tahun ini selepas berehat hampir tiga bulan susulan pandemik Covid-19.

HAFIZH bersama barisan pelumba TSG.
HAFIZH bersama barisan pelumba TSG.

Musim ini cukup penting untuk Hafizh memperoleh keputusan terbaik dalam usahanya kekal beraksi di Kejohanan Motosikal Dunia dan kembali semula ke kelas perdana, MotoGP.

"Ia satu pengalaman amat bermakna kepada saya mempelajari sesuatu daripada barisan pelumba profesional. Mereka sememangnya berada pada satu tahap jauh lebih baik berbanding saya.

"Ibaratnya jika kayuh basikal memang ia didominasi oleh mereka, tapi kalau berlumba motosikal, saya pula mengatasi mereka," katanya.

Jelas Hafizh, antara perkara yang dipelajarinya adalah bagaimana untuk kekal fokus dan konsisten menjaga stamina.

"Saya juga rasa seronok berlumba dengan mereka kerana sentiasa memberikan tips kepada saya, lagi pun mereka juga amat mesra. Harap pengalaman sepanjang berlatih bersama TSG dapat membantu saya mempersiapkan diri untuk perlumbaan sebenar yang akan bersambung semula di Jerez nanti," katanya.

Hafizh dijangka terbang kepada Jerez awal bulan ini sebelum menyertai jadual perlumbaan padat di Eropah bermula di Jerez pada 19 Julai.

Dia perlu beraksi sebanyak 13 pusingan perlumbaan sepanjang Julai sehingga November manakala baki empat lagi perlumbaan di luar Eropah termasuk Grand Prix (GP) Malaysia masih belum dimuktamadkan lagi.

Pelumba Aspar itu gagal mengutip mata pusingan pertama di Qatar, Mac lalu apabila menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-19.

Hafizh juga melalui musim suram ketika beraksi di kelas MotoGP bersama Red Bull KTM Tech tiga tahun lalu apabila hanya mampu mengutip sembilan mata untuk menamatkan saingan keseluruhan di tangga ke-23.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2020 @ 6:28 PM