NORZA (tengah) mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM ke-20 di Wisma Olimpik Malaysia. FOTO Bernama
NORZA (tengah) mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM ke-20 di Wisma Olimpik Malaysia. FOTO Bernama
Aida Adilah Mat


SEBAGAI badan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan berusaha sedaya termampu untuk membantu persatuan sukan yang terkesan dengan penularan pandemik Covid-19.

Biarpun jumlahnya tidaklah begitu besar namun sekurang-kurangnya dapat meringankan beban terpaksa ditanggung sesetengah persatuan sukan yang menghadapi masalah kewangan. Presiden MOM, Datuk Seri Norza Zakaria berkata, MOM memperuntukkan sejumlah RM300,000 untuk membantu ahli gabungan yang sudah diagihkan kepada 23 ahli gabungan penuh bernilai RM10,000 setiap ahli manakala tujuh ahli bersekutu masing-masing menerima peruntukan RM7,000.

Norza berkata, biarpun jumlah itu tidak banyak, sekurang-kurangnya ia dapat membantu mereka yang kehilangan sejumlah besar pendapatan diraih menerusi penajaan, penganjuran kejohanan serta bantuan kerajaan ketika negara berada di dalam keadaan yang langsung tidak dijangka kesan daripada Covid-19.

"Kebanyakan persatuan berdepan masalah kewangan kerana mereka terpaksa menanggung kos bulanan yang besar selepas kehilangan sumber pendapatan kerana tidak menganjurkan kejohanan selain sukar untuk mendapatkan penajaan," katanya.

Sebelum ini, MOM turut memberikan potongan 50 peratus kadar sewa kepada penyewa di Wisma MOM bagi Mac dan April.

Sementara itu, MOM turut tidak mahu memberi sebarang komen lanjut berhubung penganjuran temasya Sukan Sea Vietnam yang dijadualkan berlangsung tahun depan.

Menurut Norza, satu mesyuarat yang dipengerusikan penganjur akan diadakan secara atas talian pada 22 hingga 23 Julai ini membabitkan kesemua 11 ahli gabungan.

Ia mesyuarat pertama dianjurkan selepas pandemik Covid-19 yang membincangkan persediaan tuan rumah dan sukan akan dipertandingkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2020 @ 10:49 PM