KHABIB bersama bapanya. FOTO Agensi
KHABIB bersama bapanya. FOTO Agensi
Agensi

BUAT kali kedua berturut-turut, Forbes menobatkan Khabib Nurmagomedov sebagai atlet dan selebriti Russia bawah usia 40 tahun paling berjaya di negara itu.

Juara lightweight UFC itu dilaporkan meraih pendapatan $16.5 juta (RM70.71 juta) tahun lalu. Menurut Forbes, pengiktirafan itu berdasarkan populariti Nurmagomedov, pengikut media sosial, penajaan dan data daripada Yandex serta Google.

Personaliti media Russia, Olga Buzova menduduki tangga kedua namun dengan pengikut Instagram lebih 21 juta manakala Nurmagomedov 20 juta.

Bagaimanapun, tiada yang lebih membanggakan kepada dunia Islam apabila Khabib tidak membabitkan dirinya dengan alkohol, rokok dan produk judi. Dia mengikat perjanjian penajaan dengan Reebok, Toyota, minuman tenaga Gorilla Energy dan Alhadaya (minuman rempah hitam)

Populariti Khabib naik mendadak sejak kejayaan menewaskan Conor McGregor dengan pertarungan terakhirnya menentang Dustin Poirier pada 2019. 'The Eagle' dilaporkan mendapat habuan $10 juta (RM42.86 juta) untuk pertarungan itu.

Dia sepatutnya kembali bertarung pada April 2020 tetapi masalah penerbangan susulan pandemik Covid-19 memaksa dia menarik diri daripada menentang musuh lama, Tony Ferguson.

Bagaimanapun, peluang itu dimanfaatkan Justin Gaethje untuk menentang Ferguson dan berjaya menamatkan 12 kemenangan berturut-turut 'El Cucuy ' manakala pertarungan Khabib dengan Gaethje bakal berlangsung pada September depan.

Ia dianggap pertarungan paling sukar bakal dihadapi atlet Russia itu. Walaupun lokasinya belum dapat disahkan, peminat menjangkakan pertarungan itu bakal berlangsung di Abu Dhabi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2020 @ 7:39 PM