X
Mane (kiri) dan Messi tonggak pasukan masing-masing.
Mane (kiri) dan Messi tonggak pasukan masing-masing.
Agensi

PENYERANG Liverpool, Sadio Mane lebih layak memenangi Anugerah Pemain Terbaik Lelaki Fifa pada 2019 berbanding bintang Barcelona, Lionel Messi menurut pemain legenda Perancis, Alain Giresse.

Selepas memacu Barca mengecapi kejuaraan La Liga dan mara peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara musim lalu, Messi dinobatkan pemenang anugerah berprestij berkenaan pada September lalu.

Messi dinamakan Pemain Terbaik Dunia Fifa pada 2009 dan meraih empat gelaran anugerah Ballons d'Or yang dianjurkan badan induk bola sepak dunia itu.

Mane berada dalam senarai lima teratas mengikut undian, di belakang rakan sepasukan di Liverpool, Virgil van Dijk dan Mohamed Salah selain penyerang Juventus, Cristiano Ronaldo.

Tetapi Giresse, yang melatih Mane ketika membawa Senegal antara 2013 dan 2015, menegaskan pemain berusia 28 tahun itu layak meraih anugerah itu selepas membantu Liverpool dengan kejayaan di Liga Juara-Juara.

"Saya sememangnya memilih Sadio Mane daripada Messi, dari segi penampilan bersama pasukan mereka pada musim lalu," katanya.

"Ketika saya menjadi jurulatih di Senegal, Sadio masih muda namun dia menyerlahkan potensi, seorang pemain teknikal dan mempunyai potensi tinggi untuk menjadi pemain yang hebat, seperti yang dibuktikan pada hari ini."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2020 @ 9:51 PM