X
Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam
Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam
Firdaus Hashim


PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) menasihatkan setiap pemain bola sepak mahupun pasukan yang berhasrat untuk ke luar negara sama ada mengikuti latihan atau menyertai kejohanan supaya mendapatkan dulu kebenaran daripada pihak kerajaan.

Ia termasuk penyerang muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin yang dikaitkan untuk menyertai kelab utama Belgium, KV Kortrijk dalam masa terdekat.

Mengulas mengenai perkara terbabit, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menyeru agar semua pihak mengikut garis panduan yang ditetapkan termasuk memahami peraturan di negara yang bakal disinggahi.

Katanya, untuk tujuan persendirian yang tidak membabitkan skuad kebangsaan, ia harus diuruskan sendiri oleh pihak terbabit dengan FAM hanya menguruskan hal-hal berkaitan pasukan negara.

"Semua pasukan atau individu yang ingin ke luar negara mesti mendapatkan kelulusan daripada kerajaan dan fahami juga peraturan apabila tiba.

"Perkara ini wajib difahami atau diikuti oleh semua pihak yang berkaitan. FAM hanya memfokuskan (permohonan ke luar negara) kepada skuad kebangsaan saja," katanya.

Luqman Hakim Shamsudin. FOTO File NSTP
Luqman Hakim Shamsudin. FOTO File NSTP

Sebelum ini, timbul persoalan mengenai pemergian Luqman ke Belgium sekiranya penyerang berusia 18 tahun itu bersetuju untuk menandatangani kontrak selama lima tahun dengan KV Kortrijk.

Ini kerana kerajaan Malaysia masih lagi tidak membuka sepenuhnya pintu sempadan dengan hanya kes-kes tertentu saja dibenarkan untuk masuk atau keluar bagi mengelak pandemik Covid-19 kembali menular di negara ini.

Sementara itu, wakil kelab KV Kortrijk yang dihubungi mengakui proses untuk mendapatkan kebenaran khas buat Luqman hanya akan dimulakan selepas tonggak Selangor II itu setuju menyertai kelab itu.

"Kita akan memohon secara rasmi kepada KBS untuk mendapatkan kebenaran daripada MKN (Majlis Keselamatan Negara). Permohonan Luqman ini boleh dianggap istimewa kerana dia akan membawa imej Malaysia dan jenama negara ini ke luar negara.

"Rasanya tak ada masalah (dari kerajaan Malaysia) dan kita juga akan berhubung rapat dengan kerajaan Belgium untuk membenarkan Luqman ke sana. Apa yang penting, semua SOP (Prosedur Operasi Standart) perlu dipatuhi oleh Luqman dan kita akan pastikan ia diikuti sebaiknya," kata wakil kelab itu.

Terdahulu, aksi memukau Luqman dalam beberapa kejohanan seperti Kejuaraan AFC B-16 pada 2018 dan Kejuaraan AFF tahun lalu menyaksikan pemilik KV Kortrijk yang juga ahli perniagaan terkenal negara, Tan Sri Vincent Tan berminat memburu penyerang itu.

Luqman ditawarkan kontrak profesional selama lima tahun dengan gaji RM15,000 sebulan serta sebuah rumah untuknya.

Bagaimanapun, status penghijrahannya masih tergantung ketika majikannya, Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) juga belum mahu melepaskan Luqman.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2020 @ 9:43 PM