Luqman Hakim Shamsudin
Luqman Hakim Shamsudin
Firdaus Hashim


AKHIRNYA Luqman Hakim Shamsudin sah berkelana ke Belgium.

Itu penamat kisah dongeng yang akhirnya bertukar realiti apabila impian Luqman yang juga penyerang muda sensasi negara menjadi kenyataan apabila disahkan akan menyertai kelab profesional Liga Satu Belgium, KV Kortrijk.

Perkara berkenaan disahkan oleh Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) tengah malam tadi selepas isu perpindahan Luqman diheret hampir setengah bulan ekoran beberapa syarat yang diletakkan Selangor sebelum ini.

"Luqman akan terbang ke Belgium untuk bersama dengan kelab terbabit selepas segala dokumentasi diproses dan diluluskan.

"FAS percaya pendedahan di luar Malaysia adalah apa yang diperlukan Luqman ketika ini untuk maju ke peringkat seterusnya dalam karier profesionalnya," kata kenyataan yang dikeluarkan FAS.

Sebelum ini, menerusi pendedahan Arena Metro sejak pengumuman awal berkenaan minat mendalam KV Kortrijk ke atas Luqman tahun lalu, pelbagai dugaan terpaksa ditempuhi oleh pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu.

Difahamkan, penjaring terbanyak Kejuaraan AFC B-16 pada 2018 lalu itu akan menerima gaji sebanyak RM15,000-RM25,000 sebulan dan sebuah rumah dengan ikatan kontrak selama lima tahun.

Untuk rekod, Luqman muncul sebagai anak tempatan pertama yang akan beraksi di liga utama Belgium yang juga dikenali sebagai Liga Jupiler Belgium.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2020 @ 12:21 AM