X
DUA minggu Rayzam berasa badannya sangat sakit apabila menyambung kembali latihan selepas penularan Covid-19. FOTO YAZIT RAZALI
DUA minggu Rayzam berasa badannya sangat sakit apabila menyambung kembali latihan selepas penularan Covid-19. FOTO YAZIT RAZALI
Aida Adilah Mat


JAGUH lari berpagar negara, Rayzam Syah Wan Sofian pernah terlintas untuk bersara ketika kembali menjalani latihan selepas lebih dua bulan terperuk di rumah akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tempoh hari.

Pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) itu berkata, badannya terasa berat, berlari juga terasa sangat penat ketika mula turun menjalani pada hari raya kedua yang lalu.

"Memang susah. Kehidupan dua bulan seperti orang biasa kemudian turun menjalani latihan memang sangat susah. Saya rasa macam nak bersara dari sukan ini.

"Dua minggu rasa sakit badan. Tapi Alhamdulillah selepas itu semua kembali seperti sedia kala," kata Rayzam yang lebih selesa menjalani latihan di kampung halaman, Kota Kinabalu, Sabah.

Namun pemegang rekod kebangsaan acara 110m lari berpagar dengan catatan, 13.67 saat (s) itu berkata, belum masanya untuk bersara kerana masih ada misi yang belum dilunaskan antaranya melayakkan diri beraksi di temasya Olimpik, Tokyo tahun depan.

Katanya, banyak yang perlu dilakukan ketika ini bagi memastikan prestasinya kembali ke tahap terbaik selepas dipaksa berehat berikutan penularan wabak Covid-19.

Mujur tiada sebarang pertandingan dalam tempoh enam bulan akan datang yang mana Persekutuan Olahraga Dunia (WA) mengumumkan kelayakan trek dan balapan Sukan Olimpik Tokyo akan bermula 1 Disember ini.

Justeru Rayzam yang berlatih di bawah kendalian jurulatih Jerman, Jan May akan menggunakan waktu yang ada ini untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada.

"Tiada apa yang perlu dikejarkan ketika ini kerana seluruh dunia ketika ini tiada pertandingan. Jadi latihan tidak terlalu keras dan juga tidak terlalu mudah.

"Apa yang penting ketika ini adalah mendapatkan kembali rentak dan memperbaiki kelemahan yang ada," katanya.

Selain temasya Olimpik, turut berada dalam fokusnya adalah kembali merampas emas di Sukan SEA Vietnam selepas tahun lalu emasnya dinafikan oleh penganjur tuan rumah, Filipina yang mengumumkan emas milik pelari mereka, Clinton Kingsley Bautista biarpun melintasi garisan penamat dengan catatan masa yang sama iaitu 13.97s.

Kali terakhir Rayzam meraih emas adalah di KL2017, 10 tahun selepas emas pertama Sukan SEA menjadi miliknya pada 2007.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2020 @ 4:44 PM