DECHAMBEAU menjulang trofi selepas memenangi Rocket Mortgage Classic. FOTO AFP
DECHAMBEAU menjulang trofi selepas memenangi Rocket Mortgage Classic. FOTO AFP
AFP

BRYSON DeChambeau mengatasi Matthew Wolff di pusingan terakhir kejohanan Rocket Mortgage Classic apabila mencatat tujuh bawah par 65 sekali gus melakar kemenangan dengan kelebihan tiga pukulan.

DeChambeau menamatkan saingan dengan catatan keseluruhan 23 bawah par 265 untuk meraih gelaran keenam sepanjang kariernya di Jelajah USPGA.

Dia memadam kelebihan tiga pukulan yang dimiliki Wolff sebelum bermulanya pusingan terakhir dan melakukan tiga birdie berturut-turut di tiga lubang terakhir sebelum dapat mengesahkan kemenangan.

"Saya beraksi dengan baik pada sembilan lubang pertama. Manakala pada sembilan lubang terakhir pula saya berdepan cabaran sengit.

"Saya tidak bernasib baik pada lubang ke-14 apabila bola jatuh ke dalam air tetapi saya bangkit semula dengan melakukan tiga birdie untuk mencatat kemenangan," katanya.

Wolff yang berusaha untuk muncul juara termuda sebanyak dua kali di jelajah itu sejak Tiger Woods melakukannya pada 1996, melakukan empat birdie daripada tujuh lubang terakhir.

Dia mencatat satu bawah par 71 pada pusingan terakhir untuk keseluruhan 20 bawah par 268.

DeChambeau menjadi bualan sejak Jelajah USPGA disambung semula dan antara pemain pilihan untuk memenangi kejohanan kali ini.

Dia berjaya menamatkan saingan di kedudukan 10 terbaik sepanjang tujuh kejohanan berturut-turut.

Kemenangan terbaharu itu adalah yang pertama untuknya sejak 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2020 @ 12:58 PM