X
Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia, Datuk Shahrul Zaman Yahya
Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia, Datuk Shahrul Zaman Yahya
Syazwan Msar


SKUAD ragbi tujuh sepasukan (7's) negara sudah menjalani latihan namun lebih kepada individu dengan tumpuan bagi mengembalikan kecergasan selepas lebih tiga bulan berehat akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, walaupun dilihat agak 'pelik' apabila tidak bersentuhan namun mereka perlu mematuhi setiap garis panduan atau prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak penularan pandemik Covid-19.

Beliau berkata, latihan penuh tidak dapat dilaksanakan pada masa ini namun pihaknya mempunyai ramuan khas untuk memastikan pemain ragbi berada pada tahap optimum.

"Pemain ragbi 7's sudah mulakan latihan dan mereka tertakluk kepada SOP yang ditetapkan dengan berlatih secara bersendirian dan dipantau oleh jurulatih.

"KRM sudah merangka program latihan bersesuaian untuk mereka walaupun tidak boleh bersentuhan namun yang penting mampu memastikan pemain berada pada tahap optimum," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung KRM, Amrul Hazarin Hamidon berkata, pihaknya akan mempertimbangkan untuk mengadakan beberapa kejohanan pada musim ini jika mendapat kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

"Namun, pada masa ini, semua kejohanan termasuk liga dibatalkan dan walaupun agak suram tindakan terbabit perlu dilakukan demi memastikan keselamatan lebih terjamin.

"Kita akan melihat perkembangan selanjutnya dan keputusan atau kebenaran diberikan oleh pihak berkuasa," katanya.

Selain itu, katanya, pemain ragbi negara tidak menghadapi masalah walaupun terpaksa menjalani latihan dalam keadaan agak terhad.

"Ragbi sinonim dengan sentuhan namun KRM memahami sukan berkenaan agak sukar mendapatkan kebenaran namun kita tetap akan mencuba dengan membentangkan SOP yang lebih ketat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2020 @ 9:01 PM