Marcel Kalonda
Marcel Kalonda
Firdaus Hashim


IMPIAN pemain kelahiran Congo, Marcel Kalonda beraksi buat skuad Harimau Malaya sebagai tonggak naturalisasi akhirnya tertutup rapat selepas dokumen rasmi mengenai latar belakangnya didapati tidak sahih.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, hasil siasatan mendalam berkaitan dokumen yang diserahkan oleh Kalonda sebelum ini mendapati satu maklumat penting berkaitan hubungannya dengan negara ini adalah tidak betul.

"Satu dokumen penting yang dikemukakan oleh Kalonda, pemain pertahanan berusia 22 tahun dari Congo yang mendakwa mempunyai darah campuran Malaysia, didapati adalah tidak sahih selepas semakan dibuat dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)," katanya.

Menurutnya lagi, FAM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutama dalam soal pengesahan status pemain dan memutuskan untuk tidak meneruskan proses penaturalisasiannya bersama skuad kebangsaan.

"FAM cukup tegas dalam proses pengesahan status pemain dan kami tidak memandang ringan syarat dan kaedah yang perlu dipatuhi sebelum pakar-pakar teknikal melakukan penilaian terhadap tahap dan prestasi pemain berkenaan," katanya.

Malah, beliau turut mengingatkan kepada mana-mana pihak supaya menghormati undang-undang negara ini dengan tidak mengemukakan dokumen palsu.

"Pada masa yang sama, FAM memberi amaran kepada mana-mana individu supaya tidak sewenang-wenangnya melakukan kesalahan seperti memalsukan dokumen kewarganegaraan Malaysia dan kedaulatan negara".

Sebelum ini, Kalonda melahirkan keinginan tinggi untuk menyarung jersi Harimau Malaya apabila dia sudah menyerahkan segala dokumen rasmi berkaitan hubungannya dengan negara ini.

Dia yang kini beraksi dengan kelab ZESCO United dalam Liga Zambia dikatakan mempunyai hubungan dengan negara ini kerana datuknya berasal dari Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2020 @ 9:34 PM