X
IBRAHIMOVIC (kanan) mengetuai kebangkitan Milan untuk mengalahkan Juventus 4-2. FOTO AFP
IBRAHIMOVIC (kanan) mengetuai kebangkitan Milan untuk mengalahkan Juventus 4-2. FOTO AFP
AFP

JUVENTUS melepaskan peluang untuk mendahului dengan kelebihan 10 mata di tangga teratas Serie A selepas tumpas 2-4 kepada AC Milan tatkala pasukan tangga kedua Lazio kalah mengejut kepada Lecce.

Pasukan bimbingan Maurizio Sarri pada awalnya berjaya mendahului 2-0 hasil jaringan Adrien Rabiot dan Cristiano Ronaldo di awal separuh masa kedua namun mereka tersentak dengan kebangkitan Milan yang dijanakan oleh Zlatan Ibrahimovic.

Ibrahimovic bukan saja berjaya menjaringkan sulung Milan tapi turut melakukan satu hantaran menghasilkan jaringan.

Jurulatih Milan, Stefano Pioli, yang dilaporkan akan dipecat pada penghujung musim, menyaksikan pasukannya mendapat sedikit harapan melayakkan diri ke saingan Eropah dengan memintas AS Roma dan Napoli bagi menduduki tangga kelima.

"Saya sebenarnya tidak memikirkan mengenai 3 Ogos atau masa depan saya. Saya hanya fikirkan mengenai perlawanan seterusnya. Memang ada ketikanya saya berdepan saat sukar namun saya suka apa yang saya lakukan," kata Pioli.

Juve kekal di landasan terbaik untuk meraih kejuaraan buat kali kesembilan berturut-turut, dengan tujuh mata mengatasi Lazio tatkala berbaki tujuh perlawanan.

Selepas kedua-dua pasukan gagal menjaringkan gol pada separuh masa pertama, penyandang juara terlebih dulu memecah kebuntuan hasil rembatan pemain antarabangsa Perancis, Rabiot pada minit ke-47.

Ronaldo menggandakan jaringan Juve enam minit kemudian untuk gol ke-26 musim ini.

Bagaimanapun, Milan tiba-tiba bangkit bermula dengan sepakan penalti Ibrahimovic pada minit ke-62 selepas bola terkena tangan Leonardo Bonucci.

Pemain berusia 38 tahun itu kemudiannya melakukan hantaran kepada Franck Kessie untuk menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-66, disusuli dengan gol ketiga Rafael Leao hasil rembatan jarak dekat.

Gol keempat Milan dihasilkan Ante Rebic 10 minit sebelum perlawanan tamat dan ia adalah jaringan ke-10 pemain antarabangsa Croatia itu di Serie A.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2020 @ 8:27 AM