ADAM mempamer aksi cemerlang di Estoril. FOTO Ihsan SIC
ADAM mempamer aksi cemerlang di Estoril. FOTO Ihsan SIC
Syazwan Msar


PELUMBA Moto2 negara, Muhamad Adam Norrodin berjaya meraih penamat 10 pelumba terbaik perlumbaan Pusingan 1 dan 2 Kejuaraan Eropah FIM CEV di Circuito do Estoril Autódromo Algarve, Portugal.

Kejayaan Adam, 22, yang mewakili Liqui Moly Intact SIC Junior Team itu menyaksikannya berjaya mengumpul mata untuk terus bersaing merebut kedudukan terbaik dengan pelumba lain.

Pada perlumbaan terbabit, Adam berjaya menamatkan pelumbaan di kedudukan ke sembilan pada perlumbaan pertama manakala perlumbaan kedua pula di kedudukan kelapan.

Menurutnya, walaupun berjaya menghabiskan perlumbaan di kelompok 10 terbaik, namun dia agak kecewa kerana tersasar daripada sasaran iaitu di kedudukan lima terbaik.

"Masih ada ruang untuk saya perbaiki lagi kelemahan pada perlumbaan akan datang kerana jelas sekali tersasar daripada sasaran untuk berada di kelompok lima terbaik.

"Pada perlumbaan itu, saya agak bergelut untuk menamatkan perlumbaan terutama pada pusingan kedua. Saya sudah berada di kedudukan keempat namun cukup sukar untuk mengekalkan posisi itu.

"Saya berharap perlumbaan akan datang boleh memperbaiki kelemahan dan tampil lebih menyakinkan untuk menamatkan perlumbaan di kedudukan terbaik," katanya.

Pada perlumbaan terbabit pelumba dari Itali, Yari Montella memenangi kedua-dua perlumbaan dengan catatan 30 minit 36.300 saat (Perlumbaan 1) dan 30:34.598s (Perlumbaan 2).

Sementara itu, wakil SIC Junior Team yang bersama pasukan Monlau Motorsport dalam saingan Kejuaraan Remaja Moto3 Dunia, Syarifuddin Azman, tidak menamatkan perlumbaan selepas terbabit dalam kemalangan ketika pertengahan saingan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2020 @ 6:12 PM