RAHADIAZLI ketika beraksi bersama Terengganu FC. FOTO Ihsan TFC
RAHADIAZLI ketika beraksi bersama Terengganu FC. FOTO Ihsan TFC
Firdaus Hashim


PENJAGA gol skuad bawah 19 (B-19) tahun negara, Muhammad Rahadiazli Rahalim berharap dapat memburu tempat dalam senarai akhir 23 pemain yang akan ke Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-19 di Uzbekistan, dari 14-31 Oktober ini.

Dia yang kempunan pada saat akhir apabila disisihkan oleh pengendali, Brad Maloney pada kelayakan AFC B-19 di Kemboja tahun lalu enggan skrip sama berulang lagi.

"Syukur kepada Allah kerana diberi peluang dan kepada jurulatih juga kerana memberi peluang untuk latihan kali terakhir tahun 2020 ini. Saya harap pada sesi latihan ini saya terpilih untuk ke kejohanan AFC.

"Umur pun dah 19 tahun, kalau tak boleh juga tak tahu nak cakap...Harap ada rezeki tahun ini," katanya yang juga penjaga gol skuad Liga Super Terengganu FC.

Pada sesi latihan fasa satu ini, Rahadiazli perlu bersaing dengan tiga lagi penjaga gol lain untuk diuji oleh Maloney.

Bagaimanapun, daripada senarai terbabit, dua penjaga gol utama skuad ini iaitu ketua pasukan Firdaus Irman Mohd Fadhil dan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman tidak dipanggil sekali gus membuka ruang buat Rahadiazli untuk membuktikan kemampuannya.

Begitupun, Firdaus Imran dan Sikh Izhan dijangka akan kembali menyertai latihan pada fasa kedua nanti.

Jelas Rahadiazli, pengalaman beraksi bersama Terengganu FC dalam dua aksi Liga Super musim ini sedikit sebanyak menambah tahap keyakinannnya untuk memburu tempat dalam pasukan.

"Betul (beraksi dua perlawanan untuk skuad Terengganu FC) tapi tak semestinya (terpilih untuk skuad akhir B-19) 100 peratus sebab saingan di sini pun bagus-bagus. Kalau tak bagus takkan di pilih, tapi saya akan bersaing dengan sihat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2020 @ 8:17 PM