UEFA memutuskan baki saingan Liga Juara-Juara yang tertangguh akibat Covid-19 akan diadakan secara tertutup. FOTO Agensi
UEFA memutuskan baki saingan Liga Juara-Juara yang tertangguh akibat Covid-19 akan diadakan secara tertutup. FOTO Agensi
AFP

SAINGAN suku akhir Liga Juara-Juara di Lisbon akan dilangsungkan tanpa penonton selepas Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) mengesahkan semua perlawanan membabitkan aksi kelab peringkat Eropah diadakan secara tertutup sehingga ia diberitahu kelak berikutan pandemik Covid-19.

Keputusan itu juga akan membabitkan empat baki perlawanan pusingan kedua 16 terakhir, saingan Liga Europa dan suku akhir Liga Juara-Juara Wanita.

"Selaras dengan perkembangan semasa, Jawatankuasa Eksekutif UEFA merumuskan perlawanan-perlawanan berkenaan perlu diadakan secara tertutup sehingga pemberitahuan kelak," kata badan induk bola sepak Eropah itu dalam satu kenyataan.

UEFA berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan persetujuan di antara badan induk kebangsaan dan pihak berkuasa tuan rumah suku akhir Jerman, Portugal dan Sepanyol.

Sementara itu, baki perlawanan 16 terakhir, yang ditangguhkan Mac lalu akibat Covid-16, tidak akan dilangsungkan di gelanggang berkecuali.

Bulan lalu UEFA menyatakan semua perlawanan itu boleh diadakan di utara Portugal di Porto dan Guimaraes tertakluk kepada tahap kesihatan di benua berkenaan.

Bagaimanapun, berdasarkan perkembangan terkini, UEFA membuat keputusan untuk membenarkan pasukan yang akan menjadi tuan rumah boleh melangsungkan perlawanan di stadium mereka sendiri pada 7 dan 8 Ogos depan.

Ini bermakna juara Itali, Juventus akan menanti kunjungan Lyon di Turin untuk bangkit dari kekalahan 0-1 di Perancis Februari lalu, Manchester City akan mempertahankan kelebihan 2-1 bertemu Real Madrid di Stadium Etihad dan Barcelona menunggu kehadira Napoli di Nou Camp selepas kedua-dua terikat 1-1 pada aksi pertama.

Satu lagi aksi membabitkan Bayern Munich dan Chelsea di Allianz Arena selepas kelab Jerman itu menang 3-0 di tempat lawan pada aksi pusingan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2020 @ 11:38 AM