X
DAVID Silva (tengah) meraikan jaringannya ketika aksi Liga Perdana bertemu Newcastle di Stadium Etihad, Rabu lalu. FOTO AFP
DAVID Silva (tengah) meraikan jaringannya ketika aksi Liga Perdana bertemu Newcastle di Stadium Etihad, Rabu lalu. FOTO AFP
AFP

MANCHESTER City akan mengetahui keputusan rayuan mereka berhubung penggantungan dua tahun daripada saingan UEFA Isnin ini, umum Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

City digantung oleh UEFA selain didenda sebanyak £27 juta (RM145 juta) kerana dakwaan melanggar peraturan 'fair-play' kewangan antara 2012 sehingga 2016.

Kelab Liga Perdana Inggeris itu dengan tegas membantah tuduhan berkenaan dan perbicaraan selama tiga hari mengenai kes itu berlangsung menerusi sidang video bulan lalu.

"Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) akan mengumumkan keputusan berhubung prosedur timbang tara antara Manchester City dan UEFA pada Isnin, 13 Julai 2020," kata CAS dalam satu kenyataan.

City mempunyai kelebihan 11 mata berbanding Manchester United di tangga kelima pada saingan Liga Perdana dan memerlukan hanya satu kemenangan lagi daripada baki empat perlawanan untuk menjamin tempat ke kempen kelayakan Liga Juara-Juara musim depan.

Bagaimanapun jika keputusan penggantungan itu kekal atau dikurangkan kepada satu musim, mana-mana kelab yang menamatkan saingan di kedudukan kelima akan meraih tiket ke Liga Juara-Juara.

Tidak kira apa sahaja keputusan rayuan itu, City masih boleh melengkapkan saingan bagi musim 2019/20.

City mengatasi Real Madrid 2-1 pada perlawanan pertama pusingan 16 dan akan menanti kunjungan gergasi Sepanyol itu pada aksi timbal balik 7 Ogos depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2020 @ 8:42 AM