Pemandu Mercedes, Lewis Hamilton dahului sesi kelayakan GP Styrian. FOTO AFP
Pemandu Mercedes, Lewis Hamilton dahului sesi kelayakan GP Styrian. FOTO AFP
AFP

JUARA Dunia enam kali, Lewis Hamilton mempamerkan salah satu daripada aksi terbaik kelayakan yang terganggu dengan hujan lebat ketika dia berjaya merebut petak utama perlumbaan Formula Satu Grand Prix (GP) Styrian, Austria, sebentar tadi.

Pemandu Mercedes itu, yang bergelut dalam sesi latihan semalam, bangkit mencatat pusingan terpantas dalam masa satu minit dan 19.273 saat, mengatasi pencabar terdekat Max Verstappen dari Red Bull hanya dengan perbezaan 1.2 saat.

Prestasinya mengesahkan dia berada dalam kelas tersendiri pada hari yang berdepan ribut petir dan penangguhan sesi ujian selama 45 minit serta pembatalan terpaksa dilakukan bagi latihan ketiga.

Ia adalah kejayaan petak utama ketiga di litar Red Bull Ring serta yang ke-89 dalam kariernya sekali gus mengesahkan reputasi sebagai pelumba handalan dalam litar yang basah.

"Hari yang rumit. Ia sukar buat semua dari kami dengan keadaan cuaca dan kadang kala kamu tidak dapat melihat di mana kamu harus pergi tetapi saya sukakannya," kata Hamilton.

Pelumba McLaren, Carlos Sainz di kedudukan ketiga mengatasi Valtteri Bottas dari Mercedes di tempat keempat. Diikuti Esteban Ocon dari Renault dan pemandu McLaren, Lando Norris.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2020 @ 12:22 AM