SETAKAT ini latihan dan perancangan membabitkan skuad Brad Maloney berjalan seperti biasa dan tiada penangguhan berkaitan perkara berkenaan. FOTO Ihsan FAM
SETAKAT ini latihan dan perancangan membabitkan skuad Brad Maloney berjalan seperti biasa dan tiada penangguhan berkaitan perkara berkenaan. FOTO Ihsan FAM
Syazwan Msar


PERKHABARAN perintah berkurung di Uzbekistan jelas memberi kejutan pelbagai pihak terutama membabitkan persiapan skuad 'ubi muda' negara Bawah-19 (B-19) untuk membawa misi besar mencipta kemenangan gemilang dalam menghadapi Pusingan Akhir Kejuaraan B-19 AFC 2020 pada Oktober depan.

Pengurus pasukan Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar berkata, walaupun belum mendapat perkhabaran daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) namun Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tetap akan memantau situasi berkenaan bagi tindakan lanjut.

Beliau berkata, setakat ini latihan dan perancangan membabitkan skuad Brad Maloney berjalan seperti biasa dan tiada penangguhan berkaitan perkara berkenaan.

"Kita sedia maklum dengan situasi yang berlaku di Uzbekistan namun perlawanan Pusingan Akhir Kejuaraan B-19 AFC 2020 akan berlangsung tiga bulan lagi dan segalanya diharapkan pulih seperti biasa.

"Pada masa sama, kita juga bersedia dengan segala kemungkinan yang akan berlaku dan mengikuti setiap arahan dan garis panduan yang ditetapkan nanti," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum itu, peningkatan kes mendadak di Uzbekistan menyebabkan pemerintah di negara terbabit melaksanakan sekali lagi perintah berkurung bagi membendung penularan pandemik COVID-19.

Situasi berkenaan jelas sekali menimbulkan kebimbangan kepada pasukan yang bakal beraksi Pusingan Akhir Kejuaraan B-19 AFC 2020 jika pandemik berkenaan tidak ditangani menjelang sepak mula nanti.

Sementara itu, Kamarul berkenaan keselamatan pemain dan pegawai pasukan menjadi keutamaan mereka namun setakat ini tiada perkhabaran akan menarik diri menyertai kejohanan berkenaan.

"Kita akan memantau situasi berkenaan dan seperti saya katakan terlalu awal untuk mengambil tindakan susulan dan berharap Uzbekistan dapat mengawal penularan pandemik itu dengan segera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2020 @ 12:01 AM