X
ISHAK mengakui jika liga dimulakan pada 15 Ogos ini, kemungkinan besar pemainnya akan menghadapi masalah kurang cergas kerana tidak cukup latihan. FOTO Ihsan Mohamad Ishak Kunju Mohamad
ISHAK mengakui jika liga dimulakan pada 15 Ogos ini, kemungkinan besar pemainnya akan menghadapi masalah kurang cergas kerana tidak cukup latihan. FOTO Ihsan Mohamad Ishak Kunju Mohamad
Malik Muhamad


"Lebih baik sambung semula Liga Malaysia (Liga M) pada September ini," demikian reaksi ketua jurulatih pasukan PDRM, Mohamad Ishak Kunju Mohamad.

Beliau berkata demikian selepas persediaan pasukannya kini agak suram kerana sehingga kini pemainnya belum lagi mengadakan latihan di padang selepas liga ditangguhkan bermula 16 Mac lalu bagi membendung penularan wabak pandemik Covid-19.

Beliau berkata, jika liga dimulakan pada 15 Ogos ini, kemungkinan besar pemainnya akan menghadapi masalah kurang cergas kerana tidak cukup latihan.

Malah katanya lebih teruk lagi faktor keserasian antara pemain dan strategi yang bakal diterapkan juga mungkin akan terjejas kerana mereka begitu lama 'berehat' dan hanya melakukan latihan di kediaman masing-masing.

"Pemain boleh dianggap semuanya 'baharu' walaupun pernah beraksi dalam empat perlawanan terdahulu, tapi disebabkan mereka begitu lama tidak beraksi selain tidak boleh berlatih di padang, sudah pasti kecergasannya mereka tidak capai 100 peratus.

"Latihan secara bersendirian di kediaman mereka adalah berbeza, di padang kami boleh pantau secara lebih dekat dan jika ada antara mereka belum mencapai tahap kecergasan terbaik, kita akan berikan latihan tambahan kepada mereka.

"Justeru bagi memastikan pemain benar-benar bersedia tempoh sehingga dua bulan diperlukan termasuk mengadakan beberapa perlawanan persahabatan bagi mereka benar-benar bersedia.

"Jika tidak sudah pasti permainan mereka tidak sebagaimana yang kita harapkan lebih-lebih lagi kini pasukan berada di tangga terbawah liga dan keadaan ini sudah pasti menyukarkan lagi kami untuk kekal dalam Liga Super musim depan," ujarnya.

Ketika ditanya tarikh sebenar The Cops akan memulakan latihan, Ishak menjelaskan kemungkinan besar akan diadakan pada minggu ini cuma harinya belum pasti.

"Kita sudah mendapat keputusan ujian calitan atau 'swab test' dan semuanya adalah negatif, selain itu semua syarat yang ditetapkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) juga sudah kita patuhi, jadi saya jangkakan kami akan memulakan latihan pada minggu ini," ujar bekas pertahanan Terengganu itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2020 @ 9:14 PM