HAZARD bergelut dengan kecederaan musim ini. FOTO Agensi
HAZARD bergelut dengan kecederaan musim ini. FOTO Agensi
Agensi

ZINEDINE Zidane menyifatkan kedudukan Eden Hazard di Real Madrid adalah sukar selepas pemain Belgium itu hanya memanaskan bangku simpanan ketika mereka menang 2-1 di Granada.

Jaringan awal Ferland Mendy dan Karim Benzema membolehkan Real hanya selangkah daripada menjulang trofi La Liga.

Hazard tiba dari Chelsea dengan harga €100 juta (RM485 juta) sebelum permulaan kempen tetapi bergelut dengan kecederaan menyaksikannya kurang berperanan dalam pasukan.

Pemain berusia 29 tahun itu hanya tampil 15 perlawanan liga dan beraksi selama lapan minit sejak kali terakhir tampil dalam kesebelasan utama menentang Real Mallorca dan Espanyol akhir bulan lalu.

Selepas sembilan kemenangan berturut-turut, Zidane memberitahu wartawan, kecergasan Zidane masih belum mencapai tahap memuaskan.

"Seseorang pemain perlu sentiasa berada dalam keadaan terbaik untuk bermain dan dia masih gagal mencapainya," katanya.

"Situasinya agak sukar tetapi saya berharap dia mampu cergas 100 peratus Jumaat ini untuk membantu pasukan. Itu yang dimahukannya."

Real menerima kunjungan Villarreal pada Jumaat ini dengan kemenangan menyaksikan mereka mengesahkan kejuaraan La Liga.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 8:34 PM