RAHM muncul juara Memorial sekali gus berjaya meraih kedudukan pemain nombor satu dunia. FOTO AFP
RAHM muncul juara Memorial sekali gus berjaya meraih kedudukan pemain nombor satu dunia. FOTO AFP
AFP

JON Rahm menjadi pemain Sepanyol pertama sejak Seve Ballesteros pada 1989 memegang status pemain nombor satu dunia, selepas berjaya muncul juara kejohanan Memorial Jelajah Amerika Syarikat (AS).

"Bila-bila masa saja saya boleh menyamai pencapaian Seve, ia sangat luar biasa. Ia sangat sukar untuk memikirkan apa yang berlaku sekarang.

"Banyak perkara yang bermain di fikiran saya sekarang yang tidak ada kena mengena dengan golf," kata Rahm kerana masih teringatkan dua ahli keluarganya yang meninggal dunia akibat Covid-19.

Rahm mendahului dengan lapan pukulan pada sembilan lubang pertama namun melepaskan empat pukulan pada lima lubang seterusnya dengan membenam bogey pada lubang ke-10 dan ke-14.

Dia yang melakukan double bogey pada lubang ke-11 juga membenarkan Ryan Palmer mengekori rapat kepada tiga pukulan.

Bagaimanapun, pemain berusia 25 tahun itu mempamerkan aksi cemerlang pada lubang ke-16 hasil pukulan lambung sejauh hampir 10 meter untuk kembali meninggalkan Palmer dan mengetepikan bintang Ireland Utara, Rory Mcilroy bagi kedudukan nombor satu dunia.

Rahm adalah antara pemain muda Sepanyol yang mendapat inspirasi daripada kejayaan Ballesteros yang juga pemenang lima kejuaraan utama sebelum meninggal dunia pada 2011 akibat barah otak pada usia 54 tahun.

"Seve adalah pemain yang sangat istimewa pada kami semua, dan muncul pemain kedua selepas beliau adalah satu penghormatan," kata Rahm.

Rahm mencatatkan 75 tiga di atas par pada pusingan akhir bagi keseluruhan 279 sembilan di bawah par.

Pemain England, Matthew Fitzpatrick menduduki tempat ketiga dengan catatan keseluruhan 283 selepas merakamkan 68 pukulan manakala pemain Australia, Jason Day dan pemain England, Wallace berkongsi tempat keempat dengan catatan 284.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2020 @ 4:34 PM