Javi Gracia
Javi Gracia
AFP

VALENCIA melantik bekas bos Watford dan Malaga, Javi Gracia sebagai jurulatih baharu mereka dengan perjanjian selama dua tahun umum kelab La Liga itu hari ini.

Pengendali berusia 50 tahun itu menjadi pengurus ketiga Valencia pada musim La Liga kali ini. Kelab itu sebelum ini memecat Marcelino pada September 2019 dan Albert Celades bulan lalu.

"Valencia CF sudah mencapai persetujuan bersama Javi Gracia, yang dilantik sebagai jurulatih pasukan utama bermula hari ini dengan perjanjian selama dua tahun dan sah sehingga 30 Jun 2022," menurut kelab itu dalam satu kenyataan.

Gracia dilepaskan Watford iaitu pasukan yang tersingkir dari saingan Liga Perdana Inggeris semalam, pada September lalu selepas permulaan yang suram dalam kempen hanya empat bulan selepas membawa Hornets mara ke satu-satunya final Piala FA dalam sejarah kelab itu di mana mereka tewas 6-0 kepada Manchester City.

Dia sebelum ini pernah membimbing kelab dari Rusia, Rubin Kazan dan kelab Sepanyol seperti Malaga, Osasuna dan Almeria.

Valencia menamatkan saingan La Liga musim ini di tangga kesembilan, terlepas kelayakan Eropah dan terkeluar dari saingan Liga Juara-Juara di peringkat 16 terakhir kepada wakil Itali, Atalanta.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Julai 2020 @ 8:11 AM