X
DATUK Ab Ghani Hassan. FOTO Owee Ah Chun
DATUK Ab Ghani Hassan. FOTO Owee Ah Chun
Firdaus Hashim


LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan bahawa pasukan Liga Super dan Liga Perdana dibenarkan untuk mengadakan perlawanan pemanas badan atau persahabatan sebagai persiapan awal untuk menyambut aksi Liga Malaysia yang bakal bersambung pada 26 Ogos ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, keputusan membenarkan perlawanan persahabatan itu selaras kenyataan MFL sebelum ini di mana setiap pasukan perlu berada dalam tempoh bertenang bermula 29 Julai sehingga 1 Ogos.

Katanya, tempoh bertenang itu menjadi penilaian penting buat MFL bagi memantau keadaan setiap pegawai dan pemain pasukan selepas sesi Latihan Kontak Fizikal dibenarkan bermula pada 15-28 Julai lalu sebagai usaha memastikan tiada individu terbabit dengan wabak Covid-19 dan tiada laporan mengenai gejala dalam kalangan pegawai dan pemain.

Jelasnya, perlawanan persahabatan itu hanya dibenarkan kepada pasukan berstatus Liga Super dan Liga Perdana sahaja selain hanya beraksi di venue yang sudah menjalani proses nyahkuman dan disinfeksi sebelum perlawanan pemanas badan itu diadakan.

"Pasukan hanya dibenar untuk mengadakan perlawanan di antara pasukan-pasukan Liga Malaysia yang mana pegawai dan pemain pasukan-pasukan sudahpun menjalani Ujian Calitan (Swab Test) dan disahkan bebas gejala dan mendapat kelulusan MFL.

"Perlawanan hanya dibenar diadakan di dalam stadium atau venue perlawanan sahaja di mana gelanggang perlawanan berkenaan hendaklah didaftarkan di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

"Stadium-stadium itu hendaklah menjalani proses nyahkuman dan disinfeksi sebelum perlawanan diadakan," katanya.

Jelasnya lagi, semua aksi persahabatan itu perlu dijalankan tanpa kehadiran penyokong.

"Perlawanan hendaklah dimainkan tanpa penonton di mana hanya pegawai dan pemain pasukan yang berdaftar dan sudah menjalani Ujian Calitan (Swab Test) sahaja dibenar berada di dalam stadium atau venue perlawanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Ogos 2020 @ 7:15 PM