AUBAMEYANG (tengah) kelihatan tergamam selepas Piala FA yang mahu dijulangnya terjatuh. FOTO Agensi
AUBAMEYANG (tengah) kelihatan tergamam selepas Piala FA yang mahu dijulangnya terjatuh. FOTO Agensi
Agensi

PIERRE-Emerick Aubameyang adalah wira Arsenal pada final Piala FA namun dia tetap menanggung malu kerana menjatuhkan piala berprestij itu ketika mahu menjulangnya.

Penyerang Gabon itu membantu Gunners melakar kemenangan 2-1 ke atas Chelsea di Wembley selepas pada satu ketika ketinggalan.

Christian Pulisic meletakkan Blues di depan sebelum Aubameyang menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti sebelum berakhir separuh masa pertama.

Dia mencetak satu gol lagi minit ke-67 sekali gus mengesahkan kemenangan Arsenal yang memenangi piala itu buat kali ke-14.

Bagaimanapun kapten Arsenal itu terpaksa menanggung malu apabila ketika ingin menjulang piala, ia terlepas dari tangannya dan terus terjatuh.

Kejadian itu berlaku di depan rakan sepasukannya yang sedang menunggu untuk Aubameyang menjulang piala berkenaan buat kali pertama.

Dia bagaimanapun pantas mengambil semula piala itu dan kemudian menjulangnya semula.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Ogos 2020 @ 8:29 PM