Jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane (kiri) dan Ramos bersama trofi yang dimenangi musim ini. FOTO AFP
Jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane (kiri) dan Ramos bersama trofi yang dimenangi musim ini. FOTO AFP
Agensi

SERGIO Ramos adalah antara pertahanan terbaik dunia dan mampu beraksi sehingga berusia 40 tahun, menurut bekas rakan sepasukan Real Madrid, Rafael van der Vaart.

Ramos menjadi watak penting ketika membantu Real menamatkan dominasi Barcelona pada saingan La Liga, menjaringkan 11 gol sekali gus membantu skuad kendalian Zinedine Zidane muncul juara buat pertama kali sejak 2017.

Pertahanan kelahiran Sepanyol itu ditandatangani daripada Sevilla pada 2005 dan bergandingan bersama Van der Vaart, yang beraksi di Santiago Bernabeu selama dua musim sebelum berhijrah ke Tottenham pada 2010.

Bagaimanapun, menyaksikan bekas kelabnya sekali lagi bergelar juara liga, bekas pemain skuad kebangsaan Belanda itu kagum dengan kematangan Ramos ditambah dengan keadaan fizikalnya dan tiada alasan mengapa pemain berusia 34 tahun itu perlu memikirkan mengenai persaraan dalam tempoh terdekat.

"Pada saya, dia adalah pertahanan terbaik dunia," kata Van der Vaart.

"Ketika saya bersama Real Madrid, dia baru sahaja berusia 21 atau 22 dan memiliki semangat yang tinggi.

"Dia mahu berada di mana-mana sahaja. Sepakan percuma, sepakan sudut, di semua tempat.

"Sekarang lebih berbeza, dia kini lebih fokus. Fokus untuk menang dan menggunakan bakatnya dengan sebaik mungkin.

"Dia sedar akan kemahiran yang dimiliki, kekuatan fizikal dan kondisi yang membantunya serta pasukan dalam meraih banyak gelaran. Sukar untuk mempercayainya, dia seperti mesin.

"Apabila saya menyaksikan perlawanan sebelum ini, saya berpandangan, 'berapa usianya? 34?' Saya percaya dia boleh bermain enam tahun lagi."

Real Madrid bakal berkunjung ke Manchester City, Sabtu ini dalam perlawanan timbal balik saingan 16 terakhir Liga Juara-Juara.

Skuad Los Blancos berdepan tugas berat mengubah defisit 1-2 untuk melangkah ke kelompok lapan terakhir kejohanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2020 @ 11:39 AM