CASILLAS ketika beraksi bersama skuad Sepanyol pada 2012.  FOTO AFP
CASILLAS ketika beraksi bersama skuad Sepanyol pada 2012. FOTO AFP
AFP

PENJAGA gol Sepanyol yang menjuarai Piala Dunia, Iker Casillas mengumumkan persaraan hari ini selepas tidak beraksi hampir lebih setahun selain menghadapi masalah jantung.

Casillas, 39, turut dua kali menjuarai Kejohanan Eropah bersama negaranya di samping beraksi lebih 700 perlawanan untuk Real Madrid.

"Hari ini salah satu hari paling penting dan juga paling sukar dalam karier sukan saya. Sudah sampai masanya saya ucapkan selamat tinggal," katanya dalam Twitter.

Casillas menyertai kelab Portugal, Porto pada 2015 dari Madrid tetapi berdepan masalah jantung pada Mei tahun lalu.

Dia beraksi 167 perlawanan bersama pasukan kebangsaan, menjuarai Piala Dunia 2010 dan Euro 2008 dan 2012 ketika era emas bola sepak Sepanyol.

Casillas meraih gelaran La Liga sebanyak lima kali dan tiga kali menjulang trofi Liga Juara-Juara ketika beraksi di Santiago Bernabeu.

"Penjaga gol terbaik dalam sejarah Real Madrid dan Sepanyol menyertai kami pada usia 9 tahun. Dia menyarung jersi kami selama 25 tahun dan menjadi salah seorang kapten berkarisma sepanjang zaman," kata kenyataan kelab.

"Hari ini salah seorang pemain penting dalam sejarah 118 tahun kelab mengucapkan selamat tinggal sebagai pemain profesional, pemain yang kami sayangi dan hormati. Penjaga gol yang mencipta legasi di samping menjadi contoh di atas mahu pun di luar padang," kata kenyataan itu lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2020 @ 10:53 PM