FITRI (kiri) dan Faizal sedia sarung kembali jersi skuad hoki negara di bawah kendalian  Selvaraj.
FITRI (kiri) dan Faizal sedia sarung kembali jersi skuad hoki negara di bawah kendalian Selvaraj.
Malik Muhamad


PELANTIKAN ketua jurulatih baharu pasukan hoki lelaki kebangsaan, Arul Selvaraj bagi menggantikan Roelant Olthmans bagaikan memberi peluang kedua buat bekas pemain tengah negara, Fitri Saari untuk kembali menyarung jersi skuad Malaysian Tigers.

Ketika ditanya reaksinya, Fitri yang juga bekas kapten kebangsaan meluahkan hasrat untuk kembali dalam kem skuad negara pada bila-bila masa jika Arul berminat memerlukan khidmatnya.

Bagaimanapun, pemain berusia 27 tahun yang sebelum ini disisihkan dalam kem kebangsaan oleh jurulatih kelahiran Belanda itu bersama abangnya, Faizal menyatakan dia perlu mendapat pelepasan daripada majikannya, Majlis Sukan Negara (MSN) terlebih dahulu sebelum kembali menyarung jersi negara.

"Hasrat mewakili skuad negara tidak pernah padam walaupun sebelum ini tidak tersenarai, tapi pihak pengurusan pasukan kebangsaan perlu berbincang dengan majikan saya, Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail terlebih dahulu," katanya.

Pemain Pasukan Hoki Terengganu (THT) itu yang mula menyarung jersi skuad kebangsaan pada 2011 kini bertugas di MSN sebagai pengurus sukan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) bermula Jun lalu.

Ketika ditanya pemilihan Arul sebagai ketua jurulatih skuad negara yang bakal memulakan tugas pertamanya pada 15 Ogos ini, Fitri akui pemilihan yang dibuat Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) adalah tepat.

"Pengalaman beliau (Arul) sebagai jurulatih pasukan kelab Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan pernah membimbing saya dalam skuad kebangsaan pada Kejohanan Asia di Incheon, Korea Selatan pada 2014 menambah lagi keyakinan saya pemilihannya sebagai jurulatih negara adalah tepat," katanya.

Sementara itu Faizal ketika ditanya berhubung perkara itu enggan mengulas lebih lanjut sebaliknya menyerahkan keputusan kepada KHM.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2020 @ 5:52 PM