X
ZIDANE dijulang pemain Real Madrid selepas muncul juara La Liga. FOTO AFP
ZIDANE dijulang pemain Real Madrid selepas muncul juara La Liga. FOTO AFP
Agensi

ZINEDINE Zidane dinobatkan pengurus terbaik dunia oleh akhbar Perancis, L'Equipe mengatasi Jurgen Klopp dan Pep Guardiola untuk gelaran itu.

Pengendali berusia 48 tahun itu menjuarai trofi La Liga, tiga gelaran Liga Juara-Juara, dua Piala Super Uefa, dua Piala Kelab Dunia dan Piala Super Sepanyol ketika kali pertama mengendalikan Real Madrid sebelum meninggalkan kelab itu pada 2018.

Dia dilantik semula tahun lalu tetapi masih mampu menjulang satu lagi gelaran La Liga dan Piala Super musim ini sekaligus meneruskan rekod cemerlang bersama Real.

Klopp dan Guardiola menyertai Zidane dalam senarai tiga teratas berdasarkan pencapaian hebat mereka tetapi tiada ruang untuk pengurus Tottenham, Jose Mourinho yang dianggap L'Equipe sebagai sudah kehilangan sentuhan magis.

Mengenai Zidane, mereka menulis: "Dia jurulatih berpengalaman dengan satu kelab sahaja dan jarang kalah.

"Jurulatih yang melakukan sesuatu yang gagal dilakukan jurulatih sebelumnya, tiga kali berturut-turut menjulang Liga Juara-Juara (2016, 2017, 2018) dan menjadi juara baharu Sepanyol bersama Real Madrid bulan lalu.

"Guardiola pula memiliki keistimewaan lain. Keupayaan Manchester City mengekalkan konsistensi menerusi 198 mata dalam musim 2017 hingga 2019 bukti kemampuannya tetapi dia tidak mempunyai apa-apa. Dia memilih pertahanan tengahnya sebagai penyerang tengah atau pemain tengah."

Mereka juga menganggap Klopp berkarisma dan menjadi kegemaran ramai.

Zidane berpeluang menjuarai Liga Juara-Juara keempatnya tetapi berdepan tugas getir dalam aksi peringkat kedua pusingan 16 menentang Manchester City pada Sabtu ini. Mereka tewas 1-2 kepada City di tempat sendiri pada peringkat pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2020 @ 11:39 PM