Lionel Messi. FOTO Agensi
Lionel Messi. FOTO Agensi
AFP

SEBALIK pelbagai masalah dihadapi Barcelona pada musim ini, gergasi Sepanyol itu berpeluang menembus kehampaan apabila melayan kunjungan Napoli, di Stadium Camp Nou dalam aksi timbal balik kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi Ahad ini.

Tidak ramai yang menjangkakan laluan mudah buat Barca untuk melangkah ke suku akhir, dan jika lolos, Bayern Munich yang dianggap pasukan paling meyakinkan setakat ini, pasti menanti mereka selepas dijangka mudah mengatasi halangan Chelsea di peringkat 16 terakhir.

Dengan kelebihan jaringan di tempat lawan dalam keputusan seri 1-1 di Itali pada Februari lalu, Barca sepatutnya tidak ada masalah untuk mengatasi Napoli yang menamatkan saingan Serie A di tangga ketujuh, apatah lagi di Camp Nou yang menyaksikan mereka hanya tewas sekali dalam 58 perlawanan UCL.

Namun selepas musim La Liga yang menghampakan, di mana mereka mensia-siakan kelebihan dua mata ke atas Real Madrid dengan ketinggalan lima mata di akhir saingan.

Barca dilihat sebagai bukan pasukan pilihan berbanding Bayern, Juventus, Atletico Madrid dan pastinya Real Madrid dan Manchester City.

"Peminat mula hilang sabar kerana kami tidak memberikan mereka apa-apa." kata Lionel Messi.

"Jika kami mahu berjuang untuk Liga Juara-Juara, banyak yang perlu diubah kerana jika terus begini, dengan Napoli pun kami akan tewas."

Masa depan pengendalinya, Quique Setien juga menjadi taruhan sekiranya Barca tersingkir kepada Napoli atau dimalukan oleh Bayern pada peringkat seterusnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2020 @ 11:12 AM