HARRIF (depan) mengharapkan dapat beraksi di Kejohanan Berbasikal Kebangsaan yang dijadual berlangsung bulan ini, namun saingan itu juga dibatalkan. FOTO NSTP
HARRIF (depan) mengharapkan dapat beraksi di Kejohanan Berbasikal Kebangsaan yang dijadual berlangsung bulan ini, namun saingan itu juga dibatalkan. FOTO NSTP
Saiful Affendy Sapran


JAGUH berbasikal dan pakar pecut negara, Mohd Harrif Saleh mengakui buntu kerana masih tidak dapat menyertai sebarang kejohanan ketika ini berikutan pandemik Covid-19 yang belum berakhir.

Jelas pelumba Terengganu Inc Cycling Team (TSG) itu, dia hanya menghabiskan waktu terluang dengan berlatih bersama rakan sepasukan termasuklah merentasi Terengganu, Kelantan dan Pahang demi mengekalkan tahap kecergasannya.

"Kali terakhir saya beraksi adalah di LTdL (Le Tour de Langkawi) pada Februari lalu dan sehingga sekarang sudah enam bulan tidak beraksi di kejohanan kompetitif.

"Semua kejohanan terutama di Asia setakat ini ada yang dibatalkan atau ditangguhkan. Sebagai atlet kami memang tidak boleh buat apa-apa kerana pintu sempadan di setiap negara termasuk Malaysia juga masih ditutup," katanya.

Jelas Harrif, pada awalnya dia mengharapkan dapat beraksi di Kejohanan Berbasikal Kebangsaan yang dijadual berlangsung bulan ini, namun ia juga dibatalkan.

"Saya cuma berharap situasi akan kembali pulih secepat mungkin. Ini adalah pengalaman paling pahit dalam karier saya apabila perlu berehat selama enam bulan.

"Pendapatan juga sedikit terjejas kerana kebiasaannya apabila adanya kejohanan dapatlah tambah pendapatan menerusi hadiah kemenangan," katanya.

Paling membimbangkan Harrif adalah prestasinya akan jatuh merundum berikutan tidak beraksi di saingan kompetitif selepas memenangi dua peringkat perlumbaan di LTdL, Februari lalu.

"Tapi situasi ini dialami oleh semua atlet di seluruh dunia dan menangani pandemik ketika ini lebih penting daripada segala-galanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2020 @ 4:54 PM