PEREZ masih lagi positif Covid-19 dan terlepas buat kali kedua berturut-turut berlumba di Silverstone. FOTO AFP
PEREZ masih lagi positif Covid-19 dan terlepas buat kali kedua berturut-turut berlumba di Silverstone. FOTO AFP
AFP

SERGIO Perez tidak dapat beraksi di Grand Prix (GP) Ulang Tahun ke-70 selepas diuji positif Covid-19, di mana buat kali kedua berturut-turut dia terlepas perlumbaan jelas pasukan Racing Point.

Semalam, Perez, pelumba Formula Satu (F1) pertama yang diuji positif, diberi lampu hijau oleh pihak berkuasa kesihatan England untuk berlumba di Silverstone selepas menjalani kuarantin selama tujuh hari.

Bagaimanapun, menjelang sesi latihan, Racing Point berkata, ujian terkini pelumba berusia 30 tahun itu masih positif sekali gus memberi ruang buat Nico Hulkenberg kekal beraksi menggantikannya.

Racing Point berkata, Perez, yang dijangkiti Covid-19 ketika pulang melawat ibunya di Mexico selepas aksi GP Hungary berada dalam keadaan baik dari segi fizikal dan sekarang ini dalam proses pemulihan.

Hulkenberg, 32, melakukan aksi terpuji dalam sesi latihan dan kelayakan di GP British Ahad lalu namun gagal memulakan perlumbaan berikutan masalah teknikal.

"Saya teruja untuk beraksi sekali lagi bersama pasukan di Silverstone. Hujung minggu lalu, ia bagaikan permulaan baru selepas beberapa tahun tidak berlumba dan memandu jentera yang belum saya pernah cuba sebelum ini.

"Saya bersedia menggunakan pengalaman yang ada hujung minggu ini. Beraksi di litar yang sama membuatkan ia lebih mudah dan seluruh pasukan melakukan tugas yang baik dalam membantu meningkatkan tahap kepantasan jentera," kata Hulkenberg.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2020 @ 8:27 PM