Maloney bersama sebahagian pemain B-19 kebangsaan ketika latihan di Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya. FOTO Aizuddin Saad
Maloney bersama sebahagian pemain B-19 kebangsaan ketika latihan di Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya. FOTO Aizuddin Saad
Firdaus Hashim


AKSI berdepan skuad Liga Super, Petaling Jaya City (PJ City) bakal menguji tahap sebenar skuad bawah 19 (B-19) tahun negara selepas berlatih hampir sebulan setengah bermula awal bulan lalu.

Skuad muda negara yang kini dalam tempoh persiapan menjelang pusingan akhir Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-19 di Uzbekistan pada Oktober ini menganggap PJ City adalah lawan sukar yang mampu memberi cabaran kepada anak didik Brad Maloney.

Jelas jurulatih dari Australia itu, aksi yang akan dilangsungkan esok perlu diambil serius oleh pemainnya dengan beliau mahu melihat kefahaman pemain mengenai taktikal dan corak yang diterapkan sepanjang dua fasa latihan setakat ini.

"Kita akan bermain dengan PJ City, di mana saya ada melihat mereka bermain menentang Selangor II dan mereka cukup bagus dan pasukan yang kuat.

"Malah pemain import mereka juga bagus, jadi apa yang kita mahu adalah untuk memberi ujian pertama kepada pemain selepas berlatih begitu lama.

"Ia cukup penting untuk memastikan keserasian antara pemain dan melihat kombinasi yang sesuai disamping menilai adakah pemain dapat memahami corak permainan yang kita terapkan sebelum ini," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di padang Akademi PKNS, hari ini.

Di Uzbekistan nanti, skuad muda negara diletakkan dalam Kumpulan D bersama bekas juara 2014, Qatar serta dua lagi pesaing hebat iaitu Tajikistan dan Yaman.

Malaysia meletakkan sasaran layak ke separuh akhir untuk meraih slot ke Piala Dunia B-20 yang akan dilangsungkan di Indonesia tahun depan.

Jelas Maloney lagi, selepas aksi dengan PJ City, skuad kendaliannya akan turun menentang Selangor II pada Rabu depan.

"Sudah tentu kita mahukan lawan yang kuat untuk menguji pasukan dan PJ City serta Selangor II adalah pasukan yang bagus. Saya rasa ini adalah ujian yang terbaik buat kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2020 @ 8:54 PM