Luqman Hakim Shamsudin. FOTO File NSTP
Luqman Hakim Shamsudin. FOTO File NSTP
Firdaus Hashim


JARAK perjalanan jauh hampir 10,180 kilometer (km) antara Malaysia dan Belgium yang memakan masa selama 11 jam 30 minit penerbangan nyata bakal menguji mental dan fizikal penyerang muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin selepas ini.

Ia susulan Luqman yang akan menyarung jersi kelab liga utama Belgium, KV Kortrijk mulai Jumaat ini bakal berulang alik ke tanah air dalam tempoh dua bulan ini kerana turut terikat dengan skuad bawah 19 (B-19) negara yang beraksi di pusingan akhir Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Uzbekistan dari 14-31 Oktober ini.

Malah, tempoh kuarantin yang diwajibkan oleh kedua-dua buah negara juga bakal menguji kesabaran Luqman sebelum boleh turun berlatih bersama rakan sepasukan.

Melihatkan cabaran yang akan mengujinya nanti, Luqman tetap tenang dan enggan melatah apabila mengakui sedia berdepan sebarang cabaran termasuk soal kepenatan ekoran menempuh perjalanan yang jauh.

Katanya, rasa 'cinta' dan sayang kepada pasukan Malaysia tidak akan mengganggu fokusnya biarpun dalam pada masa yang sama perlu memikat perhatian pengurus kelab KV Kortrijk, Yves Vanderhaeghe sebaik tiba di bumi Belgium, Khamis ini.

"Mesti ada cabaran (berulang alik)...dua-dua saya sayang. Kelab (KV Kortrijk) saya sendiri dan pasukan Malaysia.

"Ialah pasukan Malaysia sebab ini adalah cita-cita dan impian saya untuk layak ke Piala Dunia B-20 tahun depan.

"Manakala cita-cita sejak kecil adalah bermain di luar. Sama-sama saya nak, jadi nak buat macam mana. Saya kena hadapi semua ini," katanya yang sah mengikat kontrak selama lima musim bersama KV Kortrijk.

Malah menerusi perjanjian itu, Luqman melakar sejarah baharu dalam arena bola sepak negara apabila muncul pemain profesional pertama dari Malaysia yang beraksi di liga utama Eropah.

Jelas pemain kelahiran Kota Bharu Kelantan itu lagi, dia tidak kisah sekiranya terpaksa berkelana seorang diri tanpa ditemani oleh ahli keluarga.

"Itu (ada ahli keluarga ikut ke Belgium) tak pasti lagi. Kalau boleh pergi seorang diri saya akan pergi saja.

"Nak pergi seorang diri pun saya akan pergi juga, nak buat macam mana. Daripada situ kita akan belajar satu persatu dan berdikari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2020 @ 11:37 PM