JAKOBSEN (dua dari kanan) ketika menyertai peringkat pembukaan Jelajah Poland. FOTO AFP
JAKOBSEN (dua dari kanan) ketika menyertai peringkat pembukaan Jelajah Poland. FOTO AFP
AFP

PELUMBA Belanda, Fabio Jakobsen yang koma selepas terbabit kemalangan serius ketika menyertai Jelajah Poland minggu lalu dibenarkan pulang ke negaranya, menurut pasukannya semalam.

Pelumba Deceuninck-Quick Step berusia 23 tahun itu menjalani pembedahan selama lima jam sejurus selepas kemalangan yang menyebabkan kecederaan parah di mukanya.

Dia mula tersedar daripada koma Khamis lalu dan doktor pada mulanya menjangkakan dia boleh meninggalkan hospital dua minggu lagi bergantung kepada proses pemulihan.

Bagaimanapun, menurut kenyataan pasukan Jakobsen, pemulihannya menampakkan kemajuan lebih cepat daripada dijangkakan dan dia boleh mendapatkan rawatan susulan di negaranya.

"Keadaan Fabio Jakobsen menampakkan petanda positif dan akan dipindahkan ke hospital di Leiden esok (hari ini) untuk rawatan selanjutnya,'' kata kenyataan itu lagi.

Jakobsen terbabas ke penghadang jalan pada kelajuan 80km sejam selepas berlaga dengan pelumba senegara, Dylan Groenewegen pada saingan peringkat pembukaan Jelajah Poland di Katowice.

Groenewegen dari pasukan Jumbo-Visma secara tiba-tiba terbabas ke kanan jalan dan berlaga dengan rakan senegaranya yang terhumban ke besi penghadang jalan sebelum terkena pegawai perlumbaan.

Groenewegen kemudiannya memenangi peringkat terbabit namun dibatalkan dan dia digantung oleh pasukannya bagi membantu proses siasatan UCI, badan basikal antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2020 @ 12:25 PM